Skip to main content

Berita Tempatan

Rakaman 'Hello TUNs' Jadi Momen Emas Gempak Bersama Almarhumah Tun Dr Hasmah

Rakaman 'Hello TUNs' Jadi Momen Emas Gempak Bersama Almarhumah Tun Dr Hasmah

Sekilas

  • Tun Dr Hasmah Mohd Ali, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
  • Beliau dikenang sebagai wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan dan aktif dalam pelbagai usaha kesihatan awam, kebajikan, pendidikan, dan hak wanita.
  • Wawancara eksklusif Gempak bersama pasangan ini menampilkan sisi peribadi dan kasih sayang mereka yang hangat serta menjadi kenangan berharga buat rakyat Malaysia.
Advertisement

Saat ini ucap belangsukawa, duka cita dan semua rasa yang bukan hanya banjir di media sosial tetapi di rumah-rumah yang setiap penghuninya yang mengenal ; entah secara dekat atau peribadi juga sebaliknya deras menangis menerima berita yang datang terlalu cepat, tidak dijangka tetapi sesuai rencana Ilahi.

Hari ini, 28 September 2026, Malaysia ditinggalkan mantan ibu negara yang cukup disenangi, YABhg. Tun Dr Hasmah Mohd Ali, tepat pada usia 100 tahun.

Advertisement

Almarhumah yang cukup terkenal dengan perwatakan sederhana, sentiasa mendampingi suami tercinta penuh santun dan hormat, bekas Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, berpulang ke negeri abadi selepas menghembuskan nafas terakhir di  Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Memang ia sebuah pemberitaan yang kaget diterima seluruh negara pagi tadi. Tun Hasmah dijemput Sang Pencipta. Dan pada saat babak baharu yang dilalui almarhumah, ‘tumpah’ banyak kenangan yang dikongsi setiap lapisan generasi tentang sosok wanita bertubuh genit, tidak lokek senyuman, rendah hati sehingga kehangatan yang ada disenangi jutaan rakyat Malaysia.

Sebagai salah satu media, Gempak juga punya momen manis dan baik yang tidak akan pernah dilupakan. Ia adalah sejarah terhebat yang pernah didapatkan seluruh tim Gempak bersama pasangan sejoli ini lewat wawancara eksklusif menerusi segmen Hello TUNs – Malaysia’s Amazing Couple.

Advertisement

Ah, menulis ini terasa berat kerana banyak kenangan yang masih menari di hadapan mata, sementelah pertemuan eksklusif Gempak dan Tun Mahathir bersama belahan jiwanya, Tun Hasmah sempena ulang tahun kelahiran ke-100 Tun Dr Mahathir baru beberapa tahun ditayangkan di saluran YouTube Astro Gempak.

Apa lagi menonton semula video wawancara yang berlangsung cukup hangat kasih sayang, keharmonian serta sisi lain yang selalu dilihat dalam acara negara serta formal dimuat naik pada Julai 2018 lalu.

Video yang menjadi salah satu momen cukup bermakna dalam perjalanan menghasilkan kandungan hiburan buat Gempak itu mendapat sambutan luar biasa apabila meraih jutaan tontonan di media sosial Gempak.

Semuanya masih basah dan hangat dalam ingatan betapa Tun Hasmah berbagi anekdot tentang suami tercinta dengan cara bercanda bersama bahasa cinta yang hanya mereka berdua fahami.

Antara yang cukup membekas adalah pasangan yang telah mendirikan rumah tangga sejak 1956 itu tampil tanpa protokol dan suasana formal.

Mereka kemudian santai menjawab soalan-soalan spontan daripada penemubual cilik, Kashika Selvam yang baru berusia 10 tahun pada ketika itu.

Antara persoalan yang dilontar berkaitan tentang pekerjaan, kehidupan seharian sehingga kisah hubungan mereka sebagai suami isteri.

Selain hangat kedua-duanya menunjukkan sisi peribadi yang cukup mencuit hati.

Antara momen yang paling mencuri perhatian ialah apabila Tun Hasmah ditanya mengenai perkara paling ‘gila’ yang pernah dilakukan Tun Mahathir.

Pada saat Tun Mahathir masih memikirkan jawapan, Tun Hasmah secara spontan mencelah dengan jawapan yang cukup menghiburkan.

Mengahwini dirinya.

Jawapan itu disambut Tun Mahathir dengan nada berseloroh, sebelum kedua-duanya berkongsi detik yang membuatkan suasana temu bual semakin hangat sekali gus menggambarkan betapa cinta yang tumbuh dalam hati mereka sejak enam dekad (pada waktu wawancara berlangsung) hidup bersama sentiasa subur, tak pernah mati.

Ya, momen kecil itu mungkin kelihatan sederhana, namun ia memperlihatkan sesuatu yang lebih besar iaitu hubungan dua insan yang telah melalui babak demi babak serta fasa kehidupan bersama.

Selain itu antara momen yang  tidak kurang menarik apabila Tun Hasmah ditanya mengenai kelemahan suaminya.

Jawapan yang diberikan juga cukup bersahaja dan tidak terduga.

Menurut Tun Hasmah, kelemahan Tun Mahathir kerana beliau terlalu kuat bekerja.

Bahkan, dalam gurauan Tun Hasmah, kesibukan Tun Mahathir dengan kerja kadangkala menyebabkan beliau terlupa isterinya ada di rumah.

Di sebalik nada berseloroh itu, terselit gambaran sebuah rumah tangga yang telah melalui perjalanan panjang, daripada zaman mereka sebagai pasangan muda sehinggalah menjadi antara pasangan paling dikenali dalam sejarah Malaysia.

Dan antara bahagian yang paling diingati dalam wawancara berdurasi sekitar lapan minit itu adalah apabila Kashika meminta Tun Mahathir memeluk Tun Hasmah sebelum kemudian meminta Tun Hasmah mencium pipi suaminya.

Meski awalnya kelihatan sedikit kekok, pasangan tersebut tetap melayan permintaan itu dalam suasana penuh santai.

Cinta agung Tun Hasmah buat Tun Mahathir tidak perlu dilaung jeritkan. Tidak perlu kata-kata besar atau kisah dramatik.

Sebaliknya hanya senyuman, gurauan dan kemesraan membuatkan wawancara santai berkenaan begitu istimewa.

Menerusi wawancara sama, Gempak juga menyelusuri kehidupan di sebalik gelaran isteri kepada seorang bekas Perdana Menteri.

Ironi, Tun Hasmah layak menjadi contoh buat para wanita yang lainnya.

Menyelak helaian babak hidup peribadinya, almarhum telah mencipta sejarah sebagai antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan dan memainkan peranan penting dalam kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan anak.

Almarhumah pernah berkhidmat dalam perkhidmatan kesihatan awam, dilantik sebagai pegawai perubatan Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak pada 1965 dan menjadi wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Negeri Kedah pada 1974.

Sepanjang tempoh Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, Tun Hasmah turut menggunakan kedudukannya untuk memberi perhatian kepada isu kesihatan, kebajikan masyarakat, pendidikan, wanita dan usaha membanteras penyalahgunaan dadah.

Almarhumah juga mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Keempat PBB mengenai Wanita di Beijing pada 1995 selain pernah berkhidmat sebagai Canselor Multimedia University selama 15 tahun sekaligus aktif dalam pelbagai pertubuhan kemasyarakatan.

Sementelah sebagai seorang wanita, sosok Tun Hasmah akan sentiasa diingati bukan hanya kerana rekod dan sumbangannya.

Almarhumah akan sentiasa dikenang sebagai seorang isteri, ibu, nenek dan insan yang mempunyai sisi lembut, spontan serta mencuit hati.

Hari ini, apabila Tun Hasmah berpulang dalam dakapan sang Pencipta, rakaman lama seperti Hello TUNs tiba-tiba membawa makna yang berbeza.

Apa yang dahulu hanya dilihat sebagai wawancara santai kini menjadi sebahagian daripada momen emas yang sangat bernilai.

Senyuman Tun Hasmah.

Gurauannya dengan Tun Mahathir.

Cara beliau menjawab soalan secara spontan.

Dan kehangatan pasangan itu yang mungkin pada ketika rakaman dibuat kelihatan seperti satu lagi momen biasa dalam kehidupan mereka.

Kini, semuanya menjadi kenangan yang bakal hidup selamanya. Dan barangkali antara perkara paling indah tentang kenangan bersama mereka sepanjang merakamkan wawancara Hello TUNs – Malaysia’s Amazing Couple adalah hakikat bahawa di sebalik gelaran dan sejarah yang besar, masih ada ruang untuk bergurau, ketawa dan menyayangi satu sama lain.

Selamat jalan, Tun Hasmah.

Terima kasih atas segala jasa, pengabdian dan kenangan yang ditinggalkan.

Semoga segala amal bakti Tun Hasmah diterima Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman dan beramal soleh.

Takziah buat Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta seluruh keluarga Allahyarhamah.

Tonton video penuh di sini: 

 

Anda mungkin berminat dengan

Bear Tale Finger Painting Book

Bear Tale Finger Painting Book

Rezeki Bersama RM5

Rezeki Bersama RM5

PENAT – Urus Emosi & Tekanan

PENAT – Urus Emosi & Tekanan

NEW Arai Tour-X5 Honda Africa Twin (LIMITED EDITION)

NEW Arai Tour-X5 Honda Africa Twin (LIMITED EDITION)

NIKO Magic Water Book Painting

NIKO Magic Water Book Painting

Belajar Doa Nabi Yunus

Belajar Doa Nabi Yunus

Must Watch Video

Advertisement