Sekilas
- Ibu mentua arwah penyanyi Siti Sarah, Salamiah Jalani, berkongsi tangkap layar perbualan terakhir mereka sebagai tanda rindu selepas 5 tahun pemergian Sarah.
- Salamiah berjanji akan menjaga amanah yang ditinggalkan oleh Sarah dan sentiasa mendoakan kesejahteraan arwah.
- Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat komplikasi COVID-19 selepas melahirkan anak keempatnya secara pramatang.
Ibu mentua kepada arwah penyanyi Siti Sarah Raisuddin iaitu Salamiah Jalani mencuri perhatian apabila memuat naik tangkap layar terakhir perbualannya bersama Sarah.
Menerusi perkongsian di Tiktok, Salamiah meluahkan rasa rindu yang tidak terhingga kepada pelantun lagu Semakin itu meskipun 5 tahun telah berlalu sejak pemergiannya, malah kenangan mereka masih terpahat dalam ingatannya.

“Ogos berbaki 3 hari lagi. 5 tahun sudah kepergianmu. Saya tetap menyimpan ayat-ayat hari terakhirmu. Saya masih tidak mampu melihat video-video antara kita. Terlalu banyak kenangan yang ditinggalkan,”tulisnya.
Dalam masa sama, ibu kepada pelawak Shuib itu turut berkata dia akan berusaha menjaga amanah Sarah yang telah dititipkan padanya, selain tidak berhenti mengirimkan doa.
“Saya akan jaga amanah yang Sarah tinggalkan untuk saya. Al-Fatihah untukmu sentiasa saya kirim. Semoga ada keizinan Allah untuk kita bersama lagi. Sayang awak selamanya,”ujarnya.
Sekadar info, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 pada usia 36 tahun selepas mengalami komplikasi akibat jangkitan COVID-19.
Allahyarham sebelum itu menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan virus berkenaan.
Dalam tempoh rawatan, Siti Sarah turut melahirkan anak keempatnya, Ayash Affan, menerusi pembedahan bagi menyelamatkan bayi tersebut yang ketika itu masih dalam kandungan dan dilahirkan pramatang.