Skip to main content

Selebriti

Saksi Kegigihan MUA Bellaz, Aliff Syukri Pertahan Harga Beg Mahal - "Persepsi Setiap Orang Berbeza"

MUA BELLAZ X ALIFF SYUKRI

Sekilas

  • Datuk Seri Aliff Syukri mempertahankan MUA Bellaz yang dikecam kerana harga beg tangan yang mahal, menjelaskan harga tersebut berpatutan berdasarkan kuantiti dan kos pengeluaran.
  • Aliff menegaskan harga produk adalah subjektif dan bergantung pada kemampuan pembeli, sambil memuji usaha gigih Bellaz dalam mempromosikan produknya secara langsung.
  • MUA Bellaz pula memohon maaf jika harga produk tidak memenuhi kehendak semua pihak dan menegaskan dia tidak memaksa sesiapa membeli beg tangan tersebut.

Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mempertahankan rakannya, MUA Bellaz yang dikecam kerana menjual beg pada harga yang mahal, baru-baru ini.

Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman berkata harga bukanlah isu yang sepatutnya diperbesarkan.

“MUA Bellaz ini sahabat saya sendiri. Pada pandangan saya, semua orang berhak untuk berniaga. Soal letak harga bukan satu masalah, tetapi isu sebenar adalah volume.

“Secara jujurnya, sekali saya membuat tempahan, nilai minimum pun RM30 juta. Jadi apabila bermain dengan kuantiti yang besar, sudah tentu harga akan kelihatan mahal,” katanya kepada Gempak.

Dalam masa sama, Aliff  menyaksikan sendiri usaha gigih yang dipamerkan MUA Bellaz ketika membuat siaran langsung produknya.

Menurutnya, harga beg tersebut berpatutan memandangkan ia dilengkapi dengan bungkusan dan corak beg yang menarik.

“Apabila MUA Bellaz dikecam hebat, saya sendiri antara yang menonton siaran langsung jualannya. Saya lihat dia berusaha bersungguh-sungguh.

“Rekaan beg itu cantik, lengkap dengan kotak dan harga yang ditambah sekitar lebih RM200 adalah berdasarkan kuantiti yang tidak terlalu banyak,” ujarnya.

Aliff turut berpendapat bahawa harga sesebuah produk adalah bersifat subjektif dan bergantung pada kemampuan diri masing-masing. 

“Mungkin ada yang merasakan beg berharga RM200 itu mahal, namun persepsi setiap orang berbeza.

“Ada yang membeli beg RM200 sudah dianggap mahal, tetapi bagi sesetengah individu, membeli beg bernilai puluhan ribu ringgit adalah perkara biasa,” jelasnya. 

Sebelum ini, MUA Bellaz meluahkan rasa kecewa di media sosial selepas menjadi sasaran kecaman susulan pelancaran produk beg tangan terbaharunya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Bellaz mengakui sedih membaca komen negatif yang diterima dan memohon maaf sekiranya produk tersebut tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak.

Bagaimanapun, Bellaz menegaskan dia tidak pernah memaksa orang ramai membeli produknya dan meminta mereka mendahulukan keperluan masing-masing.

Bellaz turut memohon maaf sekiranya harga tersebut dianggap mahal, namun menjelaskan produk berkenaan tidak boleh dijual dengan harga lebih rendah berikutan kos pengeluaran yang tinggi.

Must-Watch Video

Advertisement