Ringkasan AI
- Fasha Sandha menegaskan dia dan Fazura masih bersahabat baik serta saling mengikuti di media sosial.
- Fasha berkata Fazura dan bekas suaminya, Fattah Amin, telah move on dengan kehidupan masing-masing.
- Fasha belum berpeluang berbual secara langsung dengan Fazura mengenai hubungan mereka, tetapi yakin akan baik-baik sahaja jika berjumpa.
- Suami Fasha, Aidil Aziz, menasihatinya supaya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan berbuat baik demi ketenangan hidup.
Pelakon, Fasha Sandha menegaskan bahawa dia dan pelakon, Fazura masih bersahabat baik serta saling mengikuti di media sosial.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata, Fazura dan bekas suaminya Fattah Amin telah ‘move on’ dengan kehidupan masing-masing, namun masih terdapat segelintir peminat yang terlalu mengikut perasaan dan belum dapat melupakan hubungan mereka.
"Saya masih sahabat dia dan kami masih mengikuti antara satu sama lain di media sosial. Bagi pendapat saya, kedua-dua Fazura dan Fattah Amin telah pun move on dengan kehidupan masing-masing. Mungkin ada peminat yang terlebih emosi dan mempunyai banyak waktu untuk menyiasat secara mendalam. Mereka yang tidak move on lagi.
"Jadi, doa yang baik-baik sahaja untuk keluarga mereka. Fazura tetap akan jadi ibu kepada Fatimah dan Fatimah akan menjadi kakak kepada anak-anak Fattah dan Amira. Mereka akan jadi keluarga," katanya kepada Gempak.
Fasha ditemui ketika menghadiri Majlis Pelancaran She Dazzle Society di Taman Melawati pada Sabtu.
Aktres yang terkenal menerusi Lara Aishah itu turut menjelaskan bahawa dia belum menemui masa yang sesuai untuk berbual dengan Fazura, namun jika berpeluang untuk bersemuka, hubungan mereka pasti baik seperti biasa.
"Saya dah lama tak jumpa Fazura tapi kalau kami jumpa di mana-mana program atau majlis, kami akan baik-baik sahaja. Setakat ini, saya belum jumpa masa yang sesuai untuk berbual mengenai perkara ini dengan Fazura. Saya tak rasa sesuai jika melalui telefon dan saya lebih selesa untuk berjumpa," ujarnya.
Fasha turut berkongsi pesanan suaminya, Aidil Aziz, yang menasihatinya supaya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan sentiasa berbuat baik dengan semua demi ketenangan hidup.
"Saya pun nak hidup harmoni dan berbaik dgn semua orang. Saya adalah orang yang neutral, Aidil orang yang tenang dan selalu pesan pada saya untuk tidak menyebelahi sesiapa dan berbuat baik pada semua. Hidup tenang dan harmoni bila bersangka baik dengan orang," jelasnya.
Terdahulu, Fasha Sandha didakwa tidak lagi mengikuti akaun Instagram milik aktres Fazura selepas perkara itu disedari seorang pengguna di aplikasi Threads.
Luahan tersebut mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen, apatah lagi kedua-duanya sebelum ini dikenali sebagai sahabat baik.
Bagaimanapun, Fasha pernah menjelaskan kekeliruan tersebut menerusi satu sesi siaran langsung di Instagram miliknya.