23 aktivis Sumud Nusantara Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada pukul 10 malam.
Kepulangan mereka disambut oleh ahli keluarga rakan terdekat yang setia menanti seawal jam 8 malam.
Advertisement
Difahamkan lebih kurang 1,000 rakyat Malaysia juga berkumpul untuk menyambut kepulangan semua aktivis.
Mereka yang berkumpul menyambut kepulangan dengan laungan Free Palestine dan salawat.
Pada Sabtu, kesemua 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza, dibebaskan.
Mereka dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel sebelum menuju ke Istanbul, Turkiye.
Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk menganjurkan sebuah himpunan khas untuk meraikan kepulangan para wira dan wirawati GSF.
Menerusi kenyataan, Anwar menyifatkan 23 sukarelawan merupakan lambang keberanian rakyat Malaysia.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Keselamatan Presiden Turkiye, Dr Ibrahim Khalil, atas jasa memastikan keselamatan dan kesihatan sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan baik sepanjang proses pembebasan.
Beliau turut meminta para sukarelawan menulis nota penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, atas usaha membantu membawa keluar mereka dari tahanan Israel dan memberi perlindungan sementara di Istanbul.