Sekilas
- Pelakon dan pengarah Sabri Yunus memulakan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada usia 65 tahun selepas lebih 40 tahun tidak menyambung pelajaran.
- Sabri berkongsi kisah lama tentang tidak mengambil keputusan STPM kerana masalah tunggakan bayaran dan ketakutan mendapat keputusan kurang memuaskan.
- Beliau sangat teruja dengan peluang belajar semula tanpa halangan dan berharap dapat memberi inspirasi kepada anak-anak serta generasi muda.
Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus memulakan kehidupan baru apabila menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada usia 65 tahun.
Menerusi perkongsian di Facebook, Sabri meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dia dapat kembali belajar selepas lebih empat dekad.
“Alhamdulillah dari Institut Pendidikan (IP) bawah tangga stadium Kota Bharu ke Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim. Akhirnya 1981 di IP dan 2026 di UPSI,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Sabri mengimbau kisah ketika dia tidak pernah mengambil keputusan STPM kerana mempunyai tunggakan bayaran sebanyak RM180.
Malah, bapanya pernah memberikan RM180 supaya dia mengambil keputusan STPM. Namun, dia memilih untuk tidak mengambilnya kerana takut memperoleh keputusan yang kurang memuaskan.
“Keputusan STPM ( STPM pertama sebelum itu hanya di STP) tak pernah aku ambil dan tengok sampai hari ini kerana hutang bulanan yang saya tak bayar. Lima bulan tak bayar. RM36 darab lima bulan RM180. Setiap bulan ayah bagi tetapi ketika itu aku sangat nakal, aku pergi habiskan duit ke panggung wayang di Kota Bharu.
“Semasa keputusan STPM keluar aku bagitahu ayah. Ayah bagi RM180 untuk tengok result. Ayah nak tengok aku lulus. Depan bilik guru aku berdiri tengok orang keluar masuk sedangkan aku genggam duit dalam poket seluar dan kepala tengah fikir nak ambil atau tidak. Kalau result tak bagus terbang RM 180 duit ayah aku dan aku buat keputusan untuk tidak ambil. Aku dah jahanam 180 takkan nak jahanamkan lagi 180.
“Aku pulangkan RM180 pada ayah dan aku cakap rasa macam tak lepaslah. Ayah pun diam. Masa itu kalau dapat 3P (principle) dah layak ke universiti. Bila kawan ayah tanya keputusan aku, belum sempat aku jawab ayah aku dah jawab dulu aku dapat 3P (pembohong pemalas ponteng). Aku terdiam namun selepas itu aku cuba sambung belajar untuk ayah dan mek,”tulisnya.
Menurut Sabri, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian, namun beberapa peluang sebelum ini tidak dapat diteruskan kerana mengalami kekangan kerja.
“Tahun 80an ketika mula jadi artis majalah dewan sastera, Sutung Umar RS cuba bantu untuk belajar di ITM (sebelum ia jadi UiTM) ambil seni lukis atau seni reka. DBP kata tak boleh bagi gaji penuh atau separuh gaji. Kalau cuti-tanpa gaji aku tak mampu.
“Dua tahun kemudian aku bagi talk pasal teater di Kuala Terengganu. Program diatur Wan Ahmad Ismail. Aku dari DBP bersama Zakaria Ariffin, Doktor Samad Salleh USM dan Doktor Zainal Latif USM. Selepas aku bagi talk itu, Dr Zainal puji aku good talk dan suruh aku belajar di USM. Dia akan bantu tetapi DBP tak bagi cuti bergaji aku tak berani ambil risiko.
“Ya mula-mula nak belajar seni lukis atau seni reka, kali kedua nak belajar seni lakonan dan kali ini Upsi tawarkan seni sastera. Tiga yang berbeza kaedah pengajiannya. Tetapi ketiganya aku minati dan lalui,”ujarnya.
Sabri mengakui sangat teruja dengan peluang tersebut, lebih-lebih lagi apabila tiada lagi halangan untuk dia kembali belajar.
“Dalam usia macam ini dan aku tidak terikat, aku tak perlu minta cuti dari mana-mana pihak. Aku terima tawaran dengan sangat senang hati dan bersemangat. Semangat untuk anak-anak.
“Ayah dah lama pergi, tentunya dia tidak tahu. Arwah mek tahu sebulan sebelum mek meninggal 5/8 lalu. Aku sempat bisikkan yang aku akan sambung belajar. Terima kasih Upsi. Dalam usia 65 tahun pada bulan hadapan aku akan jadi anak kandung sulung budiman kini,”kongsinya.