Sekilas
- Elfira Loy tampil beri respon selepas namanya disebut dalam isu pemilik haiwan yang menidurkan kucing peliharaan akibat penyakit FIP.
- Elfira anggap netizen yang mengkritiknya terlalu beremosi dan tidak terkesan dengan tindakan mereka yang unfollow akaunnya.
- Pelakon itu juga menasihatkan agar netizen faham perasaan pemilik haiwan apabila mereka sendiri mengalami situasi yang sama kelak.
Pelakon, Elfira Loy mencuri tumpuan apabila dilihat meninggalkan komen pada kenyataan milik salah seorang netizen berhubung isu pemilik haiwan yang menidurkan kucingnya, baru-baru ini.
Menerusi Threads, pengguna tersebut menyatakan bahawa dia tidak menyokong sebarang tindakan yang membunuh kucing dan tidak lagi mahu mengikuti mana-mana individu yang 'follow' akaun pemilik berkenaan.
Melihat namanya turut terpalit, Elfira tidak mahu berdiam diri dan menggangap individu berkenaan terlalu mengikut perasaannya.
Aktres Cinta Awak Separuh Nyawa itu turut menegaskan bahawa dia sama sekali tidak terkesan dengan tindakan pengguna tersebut.
"Saya rasa awak terlalu beremosi. Setakat orang hati tak baik seperti awak 'unfollow' saya, saya tidak kisah," tulisnya.
Dalam masa sama, Elfira berpesan agar individu tersebut menunggu gilirannya suatu hari nanti di mana dunia tidak lagi berpihak kepadanya agar dia lebih memahami perasaan dirinya dan pemilik haiwan tersebut.
"Tetapi tunggulah bila giliran awak pula yang tersilap langkah dan buruk di mata orang. Dari situ awak akan lihat, orang lain akan lari daripada awak. Ketika itu, baru awak akan tahu posisi dia dan saya," ujarnya.
Terdahulu, seorang personaliti media sosial mencetuskan perdebatan netizen selepas berkongsi dirinya menidurkan kucing peliharaannya, Kibble akibat menghidap penyakit Feline Infectious Peritonitis (FIP).
Rata-rata netizen bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana berpendapat bahawa Kibble masih boleh diselamatkan.