Skip to main content

Berita Tempatan

"Terima 20 Naskhah Pun Mereka Terharu" - Sasar Wakaf 1 Juta Naskhah Al-Quran Seluruh Dunia, Yayasan Restu Jalin Kerjasama Dengan ToyyibPay

waqaf

Sekilas

  • Yayasan Restu dan ToyyibPay bekerjasama untuk mencetak dan mengagihkan satu juta naskhah Waqaf Al-Quran ke seluruh dunia, khususnya kepada komuniti minoriti Islam.
  • Malaysia diiktiraf sebagai pusat utama pengeluaran Al-Quran dengan permintaan tinggi dari pelbagai negara termasuk Australia, Amerika, dan China.
  • Inisiatif ini juga menyasarkan pengagihan Al-Quran dalam bahasa tempatan kepada masyarakat bukan Islam untuk menyebarkan nilai dan kefahaman universal Al-Quran.

Usaha memperkasa pengedaran Al-Quran di peringkat global menerima suntikan baharu melalui kerjasama strategik antara Yayasan Restu dan ToyyibPay Sdn Bhd.

Inisiatif bersama ini membawa visi besar iaitu mencetak dan mengagihkan satu juta naskhah Waqaf Al-Quran ke seluruh dunia, dengan tumpuan kepada komuniti minoriti Islam yang memerlukan.

Menurut Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa, perbincangan kerjasama ini sebenarnya telah bermula sejak beberapa tahun lalu melalui jaringan antarabangsa yang melibatkan pelbagai negara seperti London, Maldives, Kanada, Thailand, Amerika, China dan Taipei.

Pameran serta penyertaan di luar negara membuka ruang untuk memperkenalkan misi waqaf Malaysia kepada dunia sekaligus menunjukkan bahawa permintaan terhadap Al-Quran cetakan Malaysia amat tinggi.

“Ramai rakan luar negara melihat nilai besar pada usaha ini. Malaysia diiktiraf sebagai antara negara Islam paling maju dari segi pembangunan, dan kita mempunyai kapasiti untuk menjadi pusat pengeluaran Al-Quran bagi komuniti minoriti di seluruh dunia,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa usaha Yayasan Restu bukan sahaja tertumpu pada percetakan Mushaf Malaysia, tetapi juga pada komitmen untuk memenuhi keperluan global.

Masih banyak projek tertangguh yang perlu disiapkan dan kerjasama ini dilihat sebagai pemangkin untuk mempercepatkan penghasilan serta pengedaran Al-Quran secara lebih sistematik.

Sementara itu, Pengerusi ToyyibPay, Datuk Dr Haji Mazlan Haji Ahmad berkata kerjasama pihaknya dengan Yayasan Restu telah berlangsung 'di belakang tabir' sejak beberapa waktu lalu namun kini diberi nafas baharu selaras dengan peningkatan permintaan dunia.

“Kami sedang mempercepatkan penghantaran beberapa kontena Al-Quran ke Australia dan beberapa negara lain. Permintaan global sangat tinggi. Ada negara dengan populasi Muslim sehingga empat atau lima bilion, tetapi jumlah naskhah yang mereka terima amat sedikit. Apabila mereka menerima 20 naskhah pun, sudah cukup membuat mereka terharu,” jelasnya.

Datuk Dr Mazlan menambah bahawa inisiatif waqaf ini bukan hanya tertumpu kepada komuniti Islam semata-mata.

Sebaliknya, pengagihan juga akan dilakukan kepada masyarakat bukan Islam dalam bahasa tempatan agar mereka dapat melihat keindahan mesej Al-Quran dan memahami nilai-nilai universal yang dibawa.

“Ramai di luar sana tidak mempunyai peluang untuk membaca atau memahami Al-Quran. Kita di Malaysia bertuah dapat merasai kemanisan dan ketenangan yang datang daripada membaca dan meneliti ayat-ayat suci. Sebab itu kami ingin berkongsi nikmat ini dengan dunia,” katanya.

Melalui kerjasama ini, Malaysia disasarkan menjadi pusat utama penyediaan Al-Quran untuk keperluan global, terutama bagi komuniti minoriti yang sering terpinggir. Gabungan kepakaran percetakan Yayasan Restu dan platform teknologi pembiayaan ToyyibPay dijangka memperkukuh ketelusan, pengurusan dana waqaf dan kecekapan logistik pada skala besar.

Kedua-dua pihak optimis bahawa projek ini akan memberi impak signifikan, bukan sahaja dari sudut pembiayaan dan penyediaan Al-Quran, tetapi juga dalam menyokong pembangunan ilmu, kefahaman dan perpaduan masyarakat Islam antarabangsa.

“Kita bukan hanya mahu memberi Al-Quran, tetapi mahu menyebarkan manfaat, ilmu dan kebaikan. InsyaAllah, dengan kerjasama ini, banyak negara akan menerima manfaat dan usaha ini akan terus berkembang,” kata Datuk Abdul Latiff.

Kerjasama ini juga dijangka membuka ruang lebih luas kepada penyertaan korporat dan NGO antarabangsa dalam usaha waqaf berskala mega.

Dengan permintaan yang semakin meningkat, Malaysia kini bersedia menjadi hab penting dalam menyokong ekosistem percetakan dan penyebaran Al-Quran global.

Must-Watch Video

Advertisement