Sekilas
- Fiona, badak air terkenal di Zoo Cincinnati, meninggal dunia pada usia sembilan tahun selepas tertelan topi kait yang terjatuh ke habitatnya.
- Pasukan veterinar telah berusaha sedaya upaya menggunakan pelbagai rawatan termasuk skop dan plat getaran, namun gagal menyelamatkan Fiona.
- Fiona merupakan badak air Nil pertama yang lahir di zoo tersebut dalam 75 tahun dan menjadi tarikan popular sejak kelahirannya pada 2017.
Badak air terkenal dunia, Fiona yang menjadi kesayangan ramai menerusi pelbagai video tular di media sosial dilaporkan mati pada usia sembilan tahun selepas tertelan topi kait yang terjatuh ke dalam habitatnya.
Berita menyedihkan itu diumumkan Zoo dan Taman Botani Cincinnati, Amerika Syarikat selepas pelbagai usaha dilakukan pasukan veterinar untuk menyelamatkan haiwan berkenaan tidak berhasil.
Menurut pihak zoo, Fiona secara tidak sengaja menelan topi kait milik seorang pengunjung yang terjatuh ke dalam habitatnya minggu lalu sebelum mula menunjukkan perubahan kesihatan, termasuk kehilangan selera makan.
“Dengan rasa amat sedih, kami berkongsi berita menyayat hati bahawa Fiona tidak dapat diselamatkan walaupun pasukan doktor haiwan dan penjaga kami sudah berusaha sedaya upaya untuk membantunya menghadapi kecemasan perubatan ini.
“Kakitangan veterinar sudah mencuba segala cara untuk menyelamatkannya selepas dia tertelan topi yang secara tidak sengaja terjatuh ke dalam habitatnya minggu lalu,” menurut kenyataan zoo berkenaan.
Pihak zoo memaklumkan pelbagai kaedah rawatan digunakan bagi mengeluarkan objek asing itu daripada sistem penghadaman Fiona, namun usaha tersebut gagal meskipun haiwan berkenaan menerima rawatan sokongan rapi.
Pengarah Kesihatan Haiwan zoo itu, Mike Wenninger berkata, Fiona dipantau sepanjang masa dan diberikan rawatan termasuk prosedur enema serta ubat tahan sakit dan antimual.
Malah, pasukan veterinar turut menggunakan skop sepanjang sembilan kaki atau kira-kira 2.74 meter yang dimasukkan melalui duburnya ketika Fiona berada dalam keadaan dibius.
Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berjaya, manakala prosedur pembedahan tidak dianggap sebagai pilihan sesuai memandangkan Fiona sudah mencapai saiz dewasa sepenuhnya.
Dalam usaha membantu pergerakan sistem penghadamannya, penjaga Fiona turut meminjam plat getaran daripada sebuah ladang kuda tempatan dengan harapan objek berkenaan dapat dikeluarkan secara semula jadi.
Mereka juga dilaporkan memberikan Fiona menghidu bau kopi yang mendapat reaksi positif daripada haiwan tersebut menerusi dengusan dan gerakan telinganya.
Keadaan Fiona sebelum kematiannya turut mendapat perhatian masyarakat seluruh dunia yang mengikuti perkembangan rawatannya menerusi media sosial.
Bagaimanapun, insiden tersebut turut mencetuskan kecaman terhadap ibu bapa seorang kanak-kanak yang didakwa melambungkan topi berkenaan sehingga terkena kipas siling sebelum tercampak ke dalam habitat Fiona.

Untuk rekod, Fiona dilahirkan pada Januari 2017 dan mencipta sejarah sebagai badak air Nil pertama yang dilahirkan di Zoo Cincinnati dalam tempoh 75 tahun.
Kelahirannya yang pramatang pernah mencetuskan kebimbangan apabila Fiona pada awalnya tidak mampu berdiri atau menyusu daripada ibunya, Bibi.
Namun, haiwan tersebut berjaya menunjukkan perkembangan luar biasa sehingga menjadi antara tarikan paling popular di zoo berkenaan.
Fiona bersama adik lelakinya, Fritz yang dilahirkan pada 2022 turut mencuri perhatian menerusi pelbagai rakaman video, termasuk aksi mengunyah tembikai, berendam di dalam air dan menikmati dedaun.
Pemergian Fiona sekali gus menamatkan kisah seekor badak air yang pernah menjadi simbol harapan dan ketabahan sejak kelahirannya.
Sumber: AFP