Dua beradik ditemui dalam keadaan menggigil selepas bersembunyi di kawasan pergunungan kerana takut dimarahi ibu bapa akibat tidak menyiapkan kerja sekolah.
Menurut laporan Hong Kong 01, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan adik perempuannya berusia 11 tahun itu melarikan diri dari rumah mereka di wilayah Gansu, China pada sekitar jam 6 petang, 27 Februari lalu.
Selepas menyedari kehilangan anak-anak mereka, ibu bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari secara besar-besaran.
Operasi tersebut melibatkan lebih 30 anggota penyelamat selain penggunaan anjing pengesan serta dron pengimejan terma bagi menjejaki lokasi mereka dalam keadaan cuaca sejuk dan hujan.
Suhu ketika itu dilaporkan mencecah sekitar 1 darjah Celsius, manakala dua beradik berkenaan hanya memakai pakaian nipis ketika berada di kawasan pergunungan tersebut.
Mereka dipercayai sengaja bersembunyi dan menjauhkan diri setiap kali melihat lampu suluh atau mendengar panggilan pasukan penyelamat yang mencarinya.
Selepas 14 jam operasi dijalankan, kedua-dua kanak-kanak itu akhirnya ditemui kira-kira jam 10 pagi keesokan hari di sebuah gaung gunung yang terpencil.
Ketika ditemui, mereka dilaporkan menggigil tidak terkawal dengan wajah pucat serta bibir kebiruan akibat terdedah lama kepada suhu rendah.
Pasukan perubatan mengesahkan mereka mengalami hipotermia ringan namun berada dalam keadaan stabil selepas diberikan rawatan.
Susulan kejadian itu, polis tempatan turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak memberi tekanan berlebihan terhadap anak-anak berkaitan pelajaran, sebaliknya menekankan kepentingan komunikasi serta perhatian terhadap kesihatan mental kanak-kanak.
Sumber: Sinar Harian