Ringkasan AI
Isteri kepada pelawak terkenal, Shuib iaitu Watie Hanifiah memilih untuk tidak mendedahkan kehamilannya kerana trauma dengan keguguran sebelum ini.
Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berkata bahawa dia kini sedang mengambil langkah berjaga-jaga dan hanya memohon orang ramai mendoakan kesihatan dirinya.
"Selepas melalui fasa sebelum ini, saya memilih untuk tidak komen lebih tapi saya minta semua doakan baik-baik. Sekarang saya tak bersedia lagi nak dedah tapi saya tidak menidakkan sebab saya pun masih trauma. Saya amik langkah berjaga-jaga dan pengajaran dari kisah sebelum ni," katanya Ketika ditemui Gempak.
Watie berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri Majlis Pelancaran She Dazzle Society (SDS) di Taman Melawati pada Sabtu.
Watie akui bahawa perkara tersebut sangat menggangu fikiran dan emosinya, namun dalam masa sama dia tidak mahu menidakkan mengenai kehamilan tersebut kerana menggangap ia adalah sebuah doa.
"Sangat memberi kesan sehingga sekarang sebab saya selalu teringat dan bila ada berita baik, ia buat saya trauma setiap hari. Saya tak nak menidakkan sebab kata-kata itu satu doa.
"Saya atasi ketakutan tersebut dengan melihat anak-anak. Mungkin sebelum ini, Allah belum beri rezeki sebab saya belum jadi ibu yang baik lagi. Mungkin Allah nak saya hargai anak-anak yang sedia ada," ujarnya.
Sebelum ini, Watie berkongsi berita duka apabila dia mengalamai keguguran ketika hamil anak pertamanya.
Sekadar rekod, pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.