Sekilas
- Uyaina Arshad berkongsi langkah penting untuk mangsa rogol seperti menyelamatkan diri, menghubungi orang terdekat, dan mendapatkan rawatan di hospital dengan segera.
- Dia menasihatkan mangsa supaya tidak membersihkan diri bagi mengumpul bukti dan segera membuat laporan polis untuk mendapatkan keadilan.
- Uyaina menegaskan bahawa rogol bukan salah mangsa dan semua mangsa layak didengari, dilindungi serta disokong tanpa mengira keadaan atau identiti pelaku.
Pengacara, Uyaina Arshad berkongsi cara-cara yang perlu dilakukan jika seseorang menjadi mangsa rogol.
Menerusi perkongsian di Threads, Uyaina berpesan agar mangsa menyelamatkan diri daripada pelaku terlebih dahulu dan cuba menghubungi orang terdekat bagi meminta bantuan segera.
Malah, dia meminta mangsa untuk pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut, selain tidak membersihkan diri bagi mengumpul bukti kukuh.
“Dapatkan bantuan keselamatan dahulu. Jauhkan diri daripada pelaku. Cari tempat selamat dan seseorang yang awak percayai. Pergi ke hospital secepatnya dan pergi ke unit kecemasan dari hospital kerajaan yang ada one stop crisis centre (OSCC).
“Dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera. Kumpul bukti. Kalau boleh, jangan mandi, basuh pakaian atau padam sebarang bukti tetapi kalau awak sudah buat, tidak mengapa. Minta pertolongan,”tulisnya.
Bukan itu sahaja, dia juga menyarankan agar mangsa membuat laporan polis dengan kadar segera bagi menuntut keadilan sewajarnya.
“Pertimbangkan buat laporan polis. Awak kena dapatkan keadilan. Jangan takut untuk minta seseorang temankan. Dapatkan sokongan emosi. Pergi bercakap dengan orang yang dipercayai. Awak tidak keseorangan,”ujarnya.
Menurutnya lagi, kes rogol boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengambil kira pakaian mangsa, identiti pelaku serta keadaan sekeliling.
Uyaina turut menegaskan suara mangsa rogol itu adalah penting dan layak didengari serta dilidungi.
“Rogol bukan salah mangsa. Tak kira apa yang dipakai, siapa pelakunya atau apa keadaan sekalipun. Tidak bermaksud tidak. Diam atau kaku tak bermaksud tidak peduli.
“Tak semua orang yang boleh bertindak balas dengan membalas semula. Sesetengah orang hanya mampu terkaku. Lelaki dan perempuan, kalau awak perlukan bantuan di Malaysia hubungi talian kasih 15999. Tolong tahu yang awak layak didengari, dilindungi dan disokong,”katanya.