Skip to main content
Advertisement

Berita Antarabangsa

Wanita Didakwa Tukar Anak Angkat Dengan Monyet Terlepas Hukuman Penjara

Wanita Didakwa Tukar Anak Angkat Dengan Monyet Terlepas Hukuman Penjara

Sekilas

  • Seorang wanita di Missouri, Brenda Deutsch, didakwa membahayakan kebajikan kanak-kanak angkat dan dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara yang digantung serta tiga tahun percubaan dengan syarat menjalani kaunseling.
  • Hakim membatalkan lesen Brenda sebagai ibu bapa angkat dan menegaskan sabitan berkaitan penempatan kanak-kanak itu di Texas, bukan kerana menukar kanak-kanak dengan monyet seperti dakwaan tular.
  • Kanak-kanak tersebut ditemui tinggal tanpa pengawasan di rumah di Texas yang tidak bersih, dan pihak Perlindungan Kanak-Kanak Texas mengambil alih jagaan selepas laporan penderaan diterima.
Advertisement

Seorang wanita di Missouri, Amerika Syarikat, yang didakwa menukar seorang kanak-kanak angkat dengan seekor monyet tidak perlu menjalani hukuman penjara selepas seorang hakim menggantung hukuman tujuh tahun yang dikenakan terhadapnya.

Sebelum ini, Hakim Lincoln County, Thomas Frawley, menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara terhadap Brenda Deutsch selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan membahayakan kebajikan kanak-kanak pada tahap pertama.

Advertisement

Bagaimanapun, hukuman tersebut digantung dan Deutsch sebaliknya dikenakan tiga tahun percubaan di bawah pengawasan kerajaan negeri serta diwajibkan menjalani sesi kaunseling, lapor People.

Frawley turut membatalkan lesen Deutsch sebagai ibu bapa angkat dan menyifatkan tindakannya sebagai “amat tercela”.

Hakim berkenaan juga memohon maaf kepada individu yang hadir di mahkamah dan memberi keterangan mengenai dakwaan penderaan terhadap kanak-kanak terbabit.

Deutsch mengaku bersalah pada 15 Jun lalu atas satu pertuduhan membahayakan kebajikan kanak-kanak pada tahap pertama.

Dua lagi pertuduhan berkaitan penderaan atau pengabaian kanak-kanak digugurkan sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalahnya.

Menurut dokumen mahkamah, pertuduhan yang diakui bersalah oleh Deutsch berkaitan tindakan mewujudkan risiko besar terhadap kesihatan seorang kanak-kanak perempuan dengan menghantarnya tinggal tanpa pengawasan di sebuah rumah di Texas yang didakwa mempunyai keadaan tidak bersih serta pengawasan yang tidak mencukupi.

Pihak Perlindungan Kanak-Kanak Texas kemudian campur tangan dan mengambil kanak-kanak berkenaan dari kediaman tersebut.

Ketika menjatuhkan hukuman, Frawley menegaskan  sabitan Deutsch hanya berkaitan penempatan kanak-kanak itu di Texas.

Menurut laporan media tempatan, hakim berkata sabitan tersebut bukan kerana Deutsch mendera sesiapa atau menukar kanak-kanak dengan seekor monyet, seperti yang didakwa dalam pelbagai laporan dan keterangan.

Keputusan itu bagaimanapun bukan seperti yang diharapkan saksi, termasuk anak kandungnya Brina Johnson serta seorang bekas anak angkat yang turut tampil memberi keterangan mengenai dakwaan penderaan ketika sesi hukuman.

“Saya agak kehilangan kata-kata kerana ini bukan pengakhiran yang kami harapkan,” kata Johnson.

Johnson turut mendakwa kanak-kanak yang menjadi tumpuan kes berkenaan hadir ke mahkamah ketika sesi hukuman.

Dia mendakwa pernah menunjukkan kepada penyiasat satu perbualan yang dikatakan berkaitan pertukaran kanak-kanak itu serta sekeping gambar ibunya bersama seekor monyet. Menurut Johnson, ibunya memiliki sekurang-kurangnya tujuh ekor monyet.

Menurut kronologi kes, pada 26 November 2024, Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Perkhidmatan Sosial Missouri menerima laporan tanpa nama yang mendakwa Deutsch melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap kanak-kanak tersebut.

Dalam satu sesi temu bual forensik pada bulan berikutnya, kanak-kanak berkenaan didakwa memberitahu Deutsch pernah memukulnya menggunakan beberapa objek termasuk kasut, kayu kemasan dan pemukul.

Dia juga mendakwa tidak diberikan makanan yang mencukupi dan ada kalanya pakaiannya didermakan kepada pusat kebajikan.

Pada 6 Februari 2025, seorang pegawai sumber sekolah yang menyiasat ketidakhadiran kanak-kanak tersebut mendapat tahu  dia berada di Texas.

Ketika siasatan dijalankan, pegawai itu turut dimaklumkan mengenai khabar angin kanak-kanak berkenaan telah “ditukar” dengan seekor haiwan eksotik.

Wanita di Texas yang ketika itu menjaga kanak-kanak terbabit didakwa memberitahu penyiasat  dia membantu Deutsch kerana hubungan antara Deutsch dan kanak-kanak tersebut dikatakan tidak baik.

Wanita itu kemudian dikatakan tidak lagi mahu menjaga kanak-kanak berkenaan. Namun, menurut dokumen siasatan, Deutsch pada awalnya enggan membayar tiket penerbangan untuk membawa kanak-kanak itu pulang.

Deutsch kemudiannya memberitahu penyiasat dia telah membeli tiket penerbangan untuk kanak-kanak tersebut. Bagaimanapun, wanita di Texas itu didakwa tidak dapat menghantarnya ke lapangan terbang menyebabkan tiket berkenaan tidak digunakan.

Wanita tersebut kemudiannya meninggalkan kanak-kanak itu bersama individu lain ketika dia pergi ke luar kawasan.

Pada 21 Februari, individu berkenaan membawa kanak-kanak itu ke Pejabat Syerif Eastland sebelum pihak Perlindungan Kanak-Kanak Texas mengambilnya ke dalam jagaan.

Kanak-kanak itu turut mendakwa wanita di Texas berkenaan kadangkala meninggalkannya seorang diri di rumah selama beberapa hari, menyebabkan dia perlu menjaga haiwan-haiwan eksotik yang terdapat di kediaman tersebut.

Anda mungkin berminat dengan

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

Must Watch Video

Advertisement