Skip to main content

Dakwa Rugi Ratusan Ribu! Fizie, Dr Afif Nafi Berperang Dingin - "Ada Yang Cuba Laga-Lagakan Kami"

fizie_afif

Ringkasan AI

No AI summary found.

Kisah pengasas produk berselisih faham dengan selebriti bukanlah perkara baharu, memandangkan ia pernah berlaku beberapa kali dalam industri hiburan tempatan.

Terbaharu, pengamal perubatan dan pengasas produk EnerVast, Dr Afif Mohd Ridzwan, dikatakan kini ‘perang dingin’ dengan duta produknya sendiri, penyampai radio Gegar, Fizie Roslan.

Menurut sumber, perselisihan faham dikatakan menjadi punca kedua-dua mereka tidak lagi membuat sesi siaran langsung bersama di media sosial seperti mana yang sering dilakukan pada awal pelancaran produk itu sekitar Julai lalu.

Difahamkan, ketiadaan persefahaman antara kedua-dua pihak turut dikaitkan dengan kerugian yang didakwa berlaku.

Mengulas dakwaan tersebut, Fizie mengakui bahawa mereka sudah lama tidak muncul bersama dalam mana-mana sesi promosi, namun menafikan wujud sebarang konflik.

“Tak dinafikan, saya akui kami tidak lagi membuat sesi live bersama, malah sudah lama tak berjumpa. Namun, itu tak bermakna kami bergaduh.

“Kalau ada yang fikir kami bermasalah, tak ada masalah langsung sebenarnya, kami baik-baik saja walaupun sudah jarang berhubung.

“Iyalah, baik saya atau Dr Afif, kami sibuk dengan komitmen masing-masing. Saya on-air pagi, Dr Afif pula sibuk dengan pengurusan klinik-klinik dan R&D produk lain,” ujar Fizie.

Tambah Fizie lagi, adalah tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab kejayaan atau kegagalan sesebuah produk sepenuhnya di bahu selebriti yang menjadi duta.

“Artis bukan penentu tunggal naik turun sesuatu produk. Artis yang dilantik sebagai duta cuma salah satu elemen dalam strategi pemasaran.

“Kolaborasi yang berjaya perlu dimainkan oleh kedua-dua pihak. Artis bawa kesedaran tentang produk yang dibawa manakala pemilik jenama pula kena jaga kualiti dan strategi jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Dr Afif turut tampil menafikan dakwaan kononnya perniagaannya mengalami kerugian besar selepas melantik Fizie sebagai duta EnerVast.

“Memang sebelum ini kita pernah dengar kes artis dan pengasas produk ‘perang dingin’ atau bermasam muka apabila tidak mencapai kata sepakat dan perjanjian tidak dipenuhi.

“Dalam hal saya dengan Fizie, memang kami jarang berhubung atau mempromosi produk bersama. Namun itu tak membawa maksud kami bergaduh.

“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya kononnya berhabis ratusan ribu lantik Fizie sebagai duta EnerVast. Fitnah itu tak masuk akal langsung kerana kami bekerjasama dengan baik sepanjang masa.

“Walaupun tiada lagi sesi live bersama, tetapi Fizie amat memberi komitmen dengan menyusun pelbagai strategi yang orang luar tak tahu.

“Hubungan kami baik-baik saja. Mungkin ada yang cuba laga-lagakan kami… entah apa niat mereka,” katanya.

Dakwaan mengatakan mereka kini tidak sehaluan turut terjawab apabila kedua-duanya disahkan bakal mengusahakan cawangan baharu Restoran Bumbu Babah di Kota Bharu, Kelantan.

Restoran yang terkenal dengan sajian autentik Minang ini diasaskan oleh pelawak Ajak Shiro.

Menurut Fizie, idea untuk bekerjasama timbul selepas beliau jatuh cinta dengan keunikan masakan di Bumbu Babah.

“Saya memang peminat masakan Padang dari dulu lagi. Saya suka yang berempah, pedas, pekat semua tu.

“Ceritanya bermula bila sahabat saya, Ajak Shiro, ajak saya cuba nasi padang di Bumbu Babah. Sekali rasa gulai urat keting dia, terus terpikat!

“Dari situ saya nampak potensi besar jenama ni, bukan sekadar sedap tapi ada ‘jiwa’ masakan sebenar. Jadi bila saya berkongsi dengan Dr Afif, dia pun terus nampak peluang dan kami sepakat untuk sama-sama kuatkan jenama ni.

“Pendek kata, dari meja makan terus jadi projek bersama,” tambahnya lagi.

Must-Watch Video

Advertisement