Dansa and Sing
"Kalau Dengar Lagu Ini Saya Mesti..." - Lagu Dimana Kan Ku Cari Ganti Bikin Shiha Zikir Sebak
Penyanyi dan peserta Dansa Dan Sing, Shiha Zikir berasa sebak setiap kali mendengar lagu Dimana Kan Ku Cari Ganti nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Menurut Shiha, setiap bait lirik dalam lagu tersebut akan mengingatkan kepada arwah bapanya, Mohd Zikir yang meninggal dunia 12 tahun lalu akibat masalah jantung.
"Kalau saya dengar lagu Dimana Kan Ku Cari Ganti, saya mesti sebak dan menangis sebab terkenangkan arwah abah.
"Dari tajuk lagu sahaja sudah nampak maksudnya, memang tiada pengganti untuk arwah abah saya.
"Dia banyak mengajar saya menyanyi lagu-lagu Melayu, selain itu, arwah abah jugalah yang mendorong saya untuk bergiat dalam industri seni," ujarnya.
Shiha yang diiringi kumpulan Squad dalam pertandingan itu akui risau untuk menyanyikan lagu tersebut di konsert Dansa Dan Sing minggu keempat Ahad ini.
"Tidak dinafikan saya agak risau untuk mempersembahkan lagu ini di konsert minggu keempat, lagu ini sangat dekat dengan arwah abah, saya bimbang tak
mampu mengawal emosi sehingga mengalirkan air mata di atas pentas nanti," tambahnya.
Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen tersohor, Datuk Rizalman telah diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap dalam musim pertama ini.
Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama mereka.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video