Ramai pemilik kereta ada tabiat buruk suka parkir kenderaan di merata tempat hingga menyusahkan orang dan seorang penternak memberi contoh pengajaran terbaik.

Kisah ini berlaku di Wales baru-baru ini dan menarik perhatian ramai apabila seorang pengusaha ladang ada tindakan sendiri mengajar pemandu kereta BMW kerana menyusahkan kerja hariannya.

Pengusaha ladang itu mendapati kereta BMW milik seorang pelancong diparkir di hadapan pintu masuk ke sebuah tanah ladang hingga menghalang akses masuk sepenuhnya.

Mungkin kerana insiden seperti itu kerap berlaku sehingga menyebabkan penternak itu sudah hilang sabar dan memilih untuk mengurung kereta sedan jenama Jerman terbabit.

Dia membuat pagar mengelilingi kereta BMW seperti berada dalam kandang dan merakamkan gambar. Foto itu kemudian tular di internet dan media sosial hingga menarik perhatian wakil rakyat di situ.

Wakil rakyat kawasan Llangors, Mid Wales yang juga ahli majlis Parti Green, Emily Durrant memberi peringatan kepada pelancong di situ bahawa mereka perlu hormat kawasan tempat kerja ladang.

“Memang dialu-alukan semua orang kembali ke Wales (semasa pandemik Covid-19 reda) tetapi tolong jangan jadi plonker (orang bodoh) dan parkir di hadapan pagar tanah ladang.

“Itu landskap bekerja dan bukan sekadar satu tempat seronok untuk berkunjung. Bila penternak dihalang mendekati ternakan mereka, ia boleh menyebabkan mereka sedikit kecewa,” katanya.

Durrant yang juga dari Majlis Daerah Powys menjelaskan pagar disekeliling BMW itu ditanggal semula selepas rakaman gambar dibuat.

Gambar itu membawa maksud mendalam dan satu mesej serius bahawa semasa berkunjung ke tempat orang, sila jadi individu bertanggungjawab dan bertimbang rasa di kawasan luar bandar.

Sumber: Daily Mail