Ketika melancarkan G-Class generasi terkini, Mercedes-Benz mengumumkan bahawa varian G65 dengan enjin V12 akan digugurkan daripada barisan model terbabit.

Tetapi ini tidak bermakna varian itu akan lenyap selama-lamanya. Ini kerana Brabus, syarikat talaan yang tidak asing lagi dengan jenama dari Jerman itu, sudah memperkenalkan pengganti kepada G65 iaitu G V12 900.



Menggunakan enjin 6.0-liter twin-turbo V12 yang diambil daripada S600L, Brabus mengambil keputusan untuk membesarkan sesaran enjin berkenaan kepada 6.3 liter dengan tujuan untuk ‘memerah’ lebih banyak kuasa.

Dengan tambahan pengecas turbo yang lebih besar, manifold ekzos dan intake custom serta pelbagai lagi komponen baharu, enjin itu kini menghamburkan 900PS (888bhp) pada 5,500rpm.



Brabus mendakwa bahawa enjin berkenaan berupaya menghasilkan tork sehingga 1,500Nm, tetapi bagi memastikan ia sesuai untuk dipandu di jalan raya, jumlah tork berkenaan dihadkan kepada 1,200Nm sahaja.

Padanan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda membolehkan SUV seberat 2,660kg itu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.8 saat.



Walaupun dilengkapi dengan speedometer berskala 300km/j, ia hanya boleh mencapai kelajuan maksimum 280km/j.

Dari segi penampilan, G V12 900 didatangkan dengan kit badan lebar Widestar yang dipadankan dengan rim berukuran 24 inci. Sebagai alternatif, rim Monoblock Y ‘Platinum Edition’ berukuran 23 inci turut ditawarkan.



Seperti biasa, bahagian dalaman boleh disesuaikan dengan pelbagai pilihan upholsteri mengikut citarasa pelanggan. Brabus merancang untuk menghasilkan 10 unit G V12 900 dengan harga bermula 605,055 Euro (RM2.78 juta) setiap satu.