Ducati menambah satu lagi model ke dalam barisan Scrambler iaitu Desert Sled Fasthouse. Hasil kerjasama antara Ducati dan jenama fesyen Fasthouse ini dihasilkan bagi meraikan kemenangan Jordan Graham dalam kelas Hooligan bagi perlumbaan Mint 400 baru-baru ini.


Terhad kepada 800 unit sahaja, Desert Sled Fasthouse tampil lebih menonjol berbanding versi standard dengan skema warna yang diinspirasikan oleh jentera yang digunakan oleh Graham dalam perlumbaan itu.


Warna-warna utama yang digunakan adalah hitam dan kelabu, yang dipadankan dengan grafik geometri pada tangki minyak, di mana kedua-dua lambang Ducati Scrambler dan Fasthouse dipaparkan. Sebagai kontras, rangka model ini dicat dalam warna merah Ducati Red dan menempatkan plak nombor sisi yang diperbuat daripada aluminium.


Selain itu, sistem suspensi, enjin, brek dan lain-lain sama sahaja seperti model standard. Ini bermakna Desert Sled Fasthouse dilengkapi dengan sistem suspensi Kayaba boleh laras yang menawarkan pergerakan (travel) sehingga 200mm, tayar Pirelli Scorpion Rally STR berukuran 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, pelana berketinggian 860mm serta tempat letak kaki off-road.


Kuasa masih dibekalkan oleh enjin Desmodromic bersesaran 803cc yang menghasilkan 73hp pada 8,250rpm dan 67Nm pada 5,750rpm. Karakter lasak yang diketengahkan oleh model ini boleh dilihat menerusi gril lampu utama, ‘skid plate’ pada bahagian bawah enjin serta kedudukan mudguard yang tinggi.


Fasthouse turut tidak ketinggalan untuk memperkenalkan koleksi pakaian mereka yang dihasilkan khas untuk model edisi terhad ini. Ia terdiri daripada baju T lengan panjang dan pendek, jaket dan topi, dan boleh didapati di semua bilik pameran serta kedai dalam talian Ducati.