Tempatan

Enam Nama Pelik Jenis Pintu Kereta

gempak
Erywan
09/09/2021
07:01 MYT
Sponsor Banner
Enam Nama Pelik Jenis Pintu Kereta
Apabila meletakkan kereta di barisan sempit di tempat parkir, sudah pasti anda pernah alami situasi sukar untuk keluar dari kenderaan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang memiliki saiz perut besar dan terpaksa memaksa diri untuk keluar dengan ruang pembukaan pintu terhad.
Mungkin itu antara punca yang mendorong jurutera automotif memerah otak mereka mencari kaedah kreatif untuk anda membuka pintu dan keluar tanpa perlu menahan nafas. Ada sekurang-kurangnya enam pintu luar biasa yang dipasang pada model-model kereta. Senarainya bermula dengan:
1. Pintu Rama-Rama (Butterfly Doors)
Ia biasa didatangkan bersama kereta sport berprestasi tinggi dan pintu kereta dibuka ke hadapan sebelum naik ke atas. Bagaikan sayap rama-rama. Objektifnya mudah, supaya anda ada ruang secukupnya untuk masuk dan keluar. Model kereta yang menggunakan pintu kupu-kupu ialah Toyota Sera dan Toyota GT-One.
2. Pintu Bunuh Diri (Suicide Doors)
Namanya mungkin jangal tetapi pintu ini boleh membunuh jika anda melakukan aksi dengan cuba menutupnya ketika kenderaan sedang bergerak. Tindakan itu boleh menyebabkan anda ditarik keluar dan tercampak kerana melawan arus angin.
Banyak pengeluar automotif telah menghentikan pembinaan kereta dengan pintu sebegini atas faktor keselamatan nyawa.
Mazda BT-50, Mazda RX-8, Nissan Sway, Toyota FJ Cruiser dan Toyota Hybrid X adalah antara model yang dipasang pintu jenis ini.
3. Pintu Sayap Camar (Gullwing Doors)
Ya, pintu ini diambil namanya daripada burung jenis Camar. Kaedah pembukaannya ialah ke atas. Sebaik kedua-dua pintu dibuka, ia keliharan seperti sepasang sayap burung yang terbang di udara.
Cumanya, pintu ini menyukarkan keadaan lagi apabila anda parkir kenderaan di tempat sempit. Silap-silap anda tidak boleh keluar. Model Suzuki Cara, Nissan GT-R LM Nismo dan Toyota GT-One menggunakan pintu ini.
4. Pintu Gunting (Scissor Doors)
Gaya pintu ini bukannya sesuatu yang pelik di Malaysia. Ada beberapa pemilik Perodua Kancil sudah mengaplikasikan pintu jenis ini. Sewaktu membukanya, pintu ini akan gelongsor ke hadapan dan atas.
Pintu ini memang terbaik jika kereta berada dalam tempat sesak dan anda perlu keluar segera. Antara model yang dipasang pintu gunting ialah Isuzu Como Concept, Toyota Bionic+ dan Toyota Sportivo Coupe.
5. Pintu Gelongsor (Sliding Doors)
Jika anda berkunjung ke pasar malam, lihatlah pintu tempat duduk penumpang belakang van-van lama di situ. Itulah pintu gelongsor. Jika namanya sudah pintu gelongsor, maka pembukaannya juga membabitkan pintu gelongsor ke belakang.
Daihatsu FF Ultra Space, Honda N-Box, Mazda Senku, Nissan NV350 Caravan, Suzuki Solio dan Toyota Porte menggunakan pintu jenis ini.
6. Pintu Kanopi (Canopy Doors)
Pintu ini sememangnya unik. Ia dibuka ke atas dan kemudiannya mengelongsor ke belakang atau ke hadapan kereta. Inilah pintu yang paling sesuai untuk digunakan di kawasan parkir sempit.
Pintu ini dipasang pada Daihatsu UFE-III, Toyota EX-7, Toyota Publica Sports dan Yamaha OX99-11. Individu yang memberi nama jenis pintu ini mungkin seseorang yang gemar hadir ke kenduri-kenduri kahwin. Mungkin saja...
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live