Sebuah kereta Ferrari klasik berwarna kuning berjaya dilelong pada harga £212,800 (RM1.13 juta) iaitu menjangkaui harga anggaran antara £135,000 hingga £165,000 (RM715,614 hingga RM874,639) oleh pihak Historics di Buckinghamshire baru-baru ini.

Apa yang menarik ialah Ferrari ini sebenarnya masih dalam keadaan terlerai dan semua komponennya masih disimpan dalam 60 kotak.


Firma lelongan itu menyatakan kereta itu adalah projek ideal untuk mereka yang mahu menyiapkan binaannya dan apabila siap, ia boleh mencapai harga lebih £300,000 (RM1.56 juta).

Ferrari Ferrari Dino 246GT edisi 1972 itu berada dalam keadaan terlerai sejak lewat 1970-an oleh pemilik asal dari Australia untuk kerja-kerja restorasi yang gagal dilaksanakan.


Ferrari itu disimpan pemiliknya ketika dia kembara ke Eropah sebelum dia memutuskan untuk membawanya bersama ketika berpindah ke Australia pada 1976.

Bagaimanapun, dia agak sibuk dan tahap kesihatan kurang baik menyebabkan kerja binaan semula gagal dilakukan. Ia berada dalam keadaan terlerai lebih 40 tahun.


Jentera Dino itu mula-mula didaftarkan kepada syarikat Avis Rent-A-Car di Belgravia, London. Ia pernah berpindah tangan 3 kali antara tahun 1972 dan 1975.

Semua komponen dalam puluhan kotak itu bersama badan kereta dibawa semula ke Britain dan kemudiannya dijual kepada seorang warga Britain pada tahun 2015.


Pemilik British itu pun menyimpan projek itu dalam simpanan sejak 2018, tetapi dia juga nampaknya tidak berjaya melengkapkan restorasinya.

Kereta itu menggunakan enjin 2.4 liter V6 yang pernah dipandu sejauh 43,452 kilometer sebelum dileraikan.