Tempatan
Honda Malaysia Siar Teaser City Hatchback RS, Adakah Ia Turut Mempunyai 253Nm Tork?
Selepas Thailand dan Indonesia, nampaknya tiba giliran Malaysia pula untuk menerima Honda City Hatchback.
Ini berikutan di media sosial Honda Malaysia sudah pun menyiarkan satu video durasi 11 saat yang memaklumkan Honda City Hatchback bakal memasuki pasaran tempatan.
Secara tidak langsung, ia memberi berita gembira buat mereka yang sudah lama menunggu kehadiran Honda City Hatchback untuk pasaran Malaysia.
Buat masa ini, kami tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung spesifikasi lengkap Honda City Hatchback untuk pasaran tempatan.
Yang pastinya dalam video teaser itu, varian yang digunakan adalah RS dan mungkin memiliki spesifikasi paling tinggi dalam keluarga Honda City Hatchback (sama seperti City sedan).
Jika lihat pada logo pada bahagian belakang, varian itu mempunyai nama e:HEV. Sekiranya ia menggunakan rangkaian kuasa sama seperti City RS, powertrain i-MMD baharu itu mampu menjana 253Nm tork, iaitu setaraf dengan enjin 2.5-liter naturally-aspirated.
Ia dikuasakan oleh powertrain i-MMD baharu yang terdiri dari sistem hibrid 2-motor dan enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC.
Jika di Thailand, tiga varian Honda City Hatchback membabitkan S+ pada 599,000 Baht (RM80,776), diikuti SV pada 675,000 Baht (RM91,025) dan RS pada RM749,000 Baht (RM101,011).
Honda City Hatchback di Thailand dikuasakan oleh enjin yang sama dengan sedan, iaitu unit 1.0-liter VTEC Turbo tiga-silinder. Enjin ini menjana 122PS dan 173Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi CVT.
Namun kita tunggu sahaja pengumumannya nanti berhubung spesifikasinya, pastinya Honda Malaysia akan menawarkan ciri yang terbaik kepada bakal pemiliknya.
Must-Watch Video