Bagi memberi ketenangan minda pemilikan, Honda Malaysia memperkenalkan dua program baharu untuk pelanggannya membabitkan Perlindungan Pembiayaan Kenderaan Pelanggan (Customer Car Loan Protection) dan Pelanggan Yang Telah Divaksin (Vaccinated Customer).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, program Perlindungan Pembiayaan Kenderaan Pelanggan adalah untuk pelanggan baharu yang ingin mendapatkan bantuan kewangan untuk mengurangkan beban bayaran bulanan apabila berdepan tiada pekerjaan.

Menurutnya, insiatif insurans kemalangan diri dipertingkatkan untuk melindungi pinjaman kenderaan pelanggan baharu Honda supaya boleh erus menikmati kenderaan baharu mereka dengan tenang.

“Mereka layak mendapat perlindungan pembiayaan kenderaan selama setahun jika kehilangan pekerjaan pada tahun pertama pemilikan kenderaan baharu terbabit.

“Program berkenaan ditawarkan kepada pelanggan yang mendaftar kenderaan baharu Honda bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya.

Dalam program itu, subsidi pinjaman kenderaan sebanyak RM12,000 akan dikembalikan untuk bantuan pelanggan melakukan ansuran bulanan dengan kenaikan 100 peratus berbanding perlindungan insurans terdahulu.

Selain itu, faedah lain melalui program terbabit termasuk perlindungan kematian atau hilang upaya kekal bernilai RM20,000 yang juga meningkat 100 peratus berbanding sebelum ini. Program berkenaan turut menawarkan perlindungan pengebumian bernilai RM2,000 dan perbelanjaan penghantaran bernilai RM5,000.

Sementara itu, Program Pelanggan Yang Divaksin pula menawarkan baucer penyelenggaraan bernilai RM250 kepada pelanggan baharu dalam tempoh satu tahun selepas mendaftar program vaksin negara.

Chujo berkata, pelanggan juga layak menerima tawaran itu apabila mereka menerima pengesahan vaksin dan temu janji vaksin atau sudah divaksin separuh mahupun lengkap dua dos.Keterangan lanjut berhubung dua program baharu itu, anda boleh melayari laman web www.honda.com.my.