‘Geng tayar besar’ bagi motosikal moped Honda RS150R sememangnya mempunyai ramai pengikutnya di negara ini.

Selain menggunakan tayar bersaiz lebih besar, ada daripada mereka yang mengubahsuai Honda RS150R dengan penampilan lebih ekstrem.

Apa yang boleh dikatakan ekstrem, ia membabitkan ubah suai dengan menggunakan komponen motosikal berkuasa tinggi supaya lebih menarik dan bergaya.

Seperti Honda RS150R yang menghiasi ruangan modifikasi drebar.my kali ini, motosikal itu sememangnya unik lebih-lebih lagi dengan menghiasi konsep jentera lumba World Superbike Championship.

Jika dilihat secara lebih dekat, jentera itu dihiasi jentera lumba yang ditunggang mendiang Nicky Hayden dengan pasukan Red Bull Honda. Ia juga sebagai satu penghormatan kepada penunggang itu selepas meninggal dunia pada Mei tahun lalu.

Honda RS150R milik Mohd Khairi Yaakub, 39, itu penampilannya sangat menarik selepas menggunakan ‘cover set’ Honda Winner dari Vietnam yang diceriakan dengan semburan angin sentuhan IilusArt Auto Design.

Hasil ubah suai Honda RS150R itu boleh dianggap cukup mantap dan kemas dengan padanan beberapa komponen yang mahal serta sukar diperoleh.

Menariknya, sistem suspensi hadapan dipertingkatkan dengan fork terbalik Yamaha YZF-R1 yang turut dipadankan brek berkembar bersaiz besar daripada komponen motosikal terbabit.

Fork itu perlu dibuat beberapa ubah suai supaya boleh digunakan pada jentera berkenaan, selain dilengkapi rim Honda VFR 400 yang dibaluti tayar Pirelli Diablo Supercorsa.

Pada bahagian belakang pula, masih menggunakan sistem suspensi asal cuma dipadan dengan lengan ayun jenis tunggal daripada model Honda NSR 150SP.

Rim belakang turut menggunakan komponen Honda VFR 400 yang boleh dianggap ‘rare’ dan sukar untuk diperoleh serta dibaluti tayar Pirelli Diablo Supercorsa.

Bahagian suspensi belakang sahaja, pelaburan hampir RM4,000 digunakan kerana kerja ubah suai sangat rumit dan memerlukan kemahiran pakar.

Selain itu, kuasa hentian diperkuatkan dengan brek Brembo 19 RCS tulen, selain dilengkapi pelindung tuil dan tangki pelincir brek jenama LightTech.

Sentuhan kepada bahagian enjin, ia masih lagi standard tetapi dipertingkatkan dengan Unit Kawalan Elektronik (ECU) Tune Boss yang sudah ditala semula. Sebelum ini, kuasa maksimum hanya 15hp dan kini meningkat kepada 16.4hp.

Sistem ekzos dibina khas tampak sangat kemas dan menarik cara kimpalannya, selain dipadankan peredam SC-Project.

Ternyata bunyi yang keluar daripada sistem ekzos itu boleh dianggap bingit, tetapi cukup padu selepas menerima sentuhan tangan Pok Lie atau turut dikenali sebagai Wan Sinchan Bler.

Baca juga:

>>Transformasi ekstrem Yamaha TZM

Ternyata usaha Mohd Khairi dalam ubah suai jentera itu bukannya satu kerja sia-sia, ini kerana motosikal berkenaan pernah menjuarai kategori Kustom Ekstrem di Perhimpunan Mega Honda RS150R 2.0 baru-baru ini.

Ketika ditanya berapa kos untuk mengubahsuai itu, Mohd Khairi memaklumkan bahawa hampir RM27,000 sudah dilaburkan untuk menyiapkan jentera berkenaan.

Katanya, dia mahu mengucap terima kasih kepada rakannya terutama komuniti Honda RS150R Gombak King yang banyak memberi sokongan kepadanya untuk membina motosikal berkenaan.

“Selain itu, mekanik saya iaitu Ejam daripada Zizi Motor Maxx adalah orang penting dalam membina motosikal ini,” katanya ketika ditemui.

Jika anda mempunyai motosikal ubah suai yang menarik seperti ini, boleh kongsi bersama kami.