Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan sumbangsih membabitkan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat ini terpaksa dibatalkan.

Piala Sumbangsih sah dibatalkan

Berita itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook Rasmi milik MFL pada Khamis.

Menurut MFL, pembatalan perlawanan itu dilakukan susulan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu.

“Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat, 10 Mei 2024 di Stadium Sultan Ibrahim terpaksa dibatalkan selepas Selangor FC membuat keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan itu,” maklum hantaran berkenaan.

Jelas MFL lagi, keputusan itu bakal memberikan kemenangan ‘walkover’ kepada JDT dengan jaringan 3-0.

“Keputusan Selangor FC itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada MFL sekali gus menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat 3 mata bagi perlawanan Liga Super (LS1).

“Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya,” jelas hantaran itu.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan aksi itu selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan pada petang Rabu.

Menurut badan pengelola itu, keputusan meneruskan perlawanan sumbangsih dibuat selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pihak polis yang akan meningkatkan tahap keselamatan pada hari perlawanan.

BERITA TRENDING: Terkini: Selangor FC Ambil Keputusan Tak Hadir Piala Sumbangsih 2024

Bagaimanapun, lewat malam tadi, Red Giants dengan berat hati membuat keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama dinantikan.

Selangor berpendapat keputusan itu dianggap wajar bagi menjamin keselamatan pemain selepas bintang utamanya, Faisal Halim menjadi mangsa serangan simbahan asid.