Buat peminat sukan permotoran drift, Ken Blok pasti mengenali jentera Hoonitruck ini yang mana lebih 75 juta sudah menontonnya di saluran YouTube.

Selepas pengumuman beliau berakhir menjalani kerjasama selama sedekad dengan Ford, nampaknya ada beberapa model kenderaan jenama itu mula mencari pemilik barunya.


Kini, Hoonitruck dibuka untuk dijual melalui laman sesawang lbilimited.com dengan harga dibuka USD1.1 juta (RM4.53 juta). Ini menjadikan model trak pikap model F-150 paling mahal buat masa ini biarpun ia adalah keluaran 1977.

Namun, jentera ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Biarpun, ia tampil dengan bentuk F-150 keluaran 1977, tetapi semuanya dibina menggunakan material aluminium.


Sistem suspensinya juga dibina khas dengan menggunakan jenama ST/KW untuk memberi pengendalian terbaik ketika melakukan aksi drift.

Apa membuatkannya lebih menarik, enjin digunakan adalah EcoBoost V6 3.5 liter yang diambil kereta lumba Ford GT Le Mans bagi menyalurkan 914hp. Selain itu, ia dipadankan kotak gear enam kelajuan Sadev sebelum disalurkan keempat-empat roda.


LBI Limited mengendalikan urus niaga penjualan Hoonitruck. Jentera itu kini berada di bilik pameran peniaga eksotik di Pontiac, Michigan.

Sebelum ini, Ken memilih trak buatan 1977 ini kerana ia mempunyai nilai sentimenal dan untuk memperingati mendiang bapanya.


Berdasarkan cerita, pelumba itu sebenarnya belajar memandu kereta menggunakan trak F-150 keluaran 1977 milik mendiang bapa. Ketika itu, dia berumur 15 tahun. Ia dihasilkan dengan kerja-kerja meleraikan komponen asal untuk projek pembinaan semula.

Sama seperti Hoonicorn Mustang, trak pikap F-150 ini menggunakan badan yang dihasilkan daripada material aluminium gred tentera sepenuhnya. Ia buatan tangan dan dilakukan oleh pihak Detroit Speed Engineering di Mooresville.


Casis jentera ini adalah baharu dan berasaskan pacuan semua roda yang berasaskan rim berukuran 20 inci. Biarpun begitu ia, ia tetap sebuah trak pikap.