Volvo Car Malaysia, Three Little Ahmads dan Nano Textile berganding bahu melancarkan koleksi pelitup muka anti-mikrob, yang dinamakan ‘Volvo Batik Reusable Facemasks’.

Selain membawakan alternatif yang lebih lestari kepada pelitup muka pakai buang, projek ini banyak memberi manfaat kepada kemahiran komuniti setempat dalam menyokong kehidupan mereka yang kehilangan pekerjaan dan mengharungi pelbagai kepayahan hidup disebabkan pandemik ini.


Pelitup muka ini dihasilkan oleh ibu-ibu tunggal, wanita di kawasan luar bandar dan alumni vokasional GIATMara yang kehilangan pekerjaan disebabkan penutupan kilang semasa Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia pada Mac 2020 sekali gus mengakibatkan sesetengah daripada mereka terpaksa menggadaikan barang kemas demi memenuhi keperluan hidup.

Sehingga hari ini, hasil daripada pembuatan pelitup muka ini, dapat memberikan kumpulan wanita itu sumber pendapatan yang stabil bahkan membolehkan mereka menebus balik barang kemas kesayangan mereka di kedai pajak gadai.


Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam Volvo Car Malaysia Akhtar Sulaiman, berkata kolaborasi itu benar-benar selari dengan teras falsafah ‘Omtanke’ Volvo, iaitu perkataan dalam bahasa Sweden dan ethos jenama Volvo yang bermaksud ‘untuk menjaga’ dan ‘bertimbang rasa’.

“Kami berbesar hati menghulur tangan untuk membantu komuniti setempat dalam meneruskan kehidupan mereka, terutama dalam tempoh yang sangat mencabar dan sukar ini,” katanya.


Menyedari pelitup muka pakai buang sebagai masalah persekitaran yang begitu pantas berkembang, penghasilan pelitup muka fabrik boleh digunakan semula dengan corak Batik Tekap adalah satu penghormatan terbaik kepada warisan seni Malaysia.

Setiap pelitup muka yang dihasilkan, diambil kira tahap kesihatan pemakainya. Direka dengan teliti dan dicantumkan secara manual menggunakan tangan. Setiap pelitup muka dibuat daripada 100 peratus kain kapas, anti bakteria, kalis air dan memberi perlindungan terhadap bakteria serta virus, dan ia boleh bertahan sehingga 100 kali cucian lembut.


‘Volvo Batik Reusable Facemasks’ ini didatangkan dalam set tiga helai, dengan dua pilihan saiz iaitu sederhana dan besar. Setiap set hadir dalam tiga variasi warna, iaitu Biru Tua (bunga matahari), Biru Kelasi (bunga lili), dan Biru Langit (bunga melati). Dijual pada harga RM99 setiap set, pelitup muka ini boleh dibeli di pengedar Volvo di seluruh negara.

Untuk keterangan lanjut mengenai ‘Volvo Batik Reusable Facemasks’, sila kunjungi https://www.volvocars.com/my/volvo-branded-face-mask atau ikuti Facebook Volvo Car Malaysia di http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram http://bit.ly/VolvoMY-FB untuk mendapatkan lebih banyak makluman.