Antarabangsa
Lexus LC 2021 - Grand Tourer Mewah Ditambah Aspek Kosmetik Dan Prestasi
Lexus LC diperkenalkan kepada umum pada tahun 2016 dan kini tiba masanya ‘grand tourer’ mewah itu diberikan penambahbaikan membabitkan aspek kosmetik dan juga prestasi.
Untuk model tahun 2021, LC boleh didapati dalam dua warna baharu iaitu Cadmium Orange dan Nori Green Pearl. Untuk ruang kabin, pilihan warna Rioja Red digantikan dengan warna Flare Red, manakala upholsteri kulit Bespoke White tidak ditawarkan lagi.
Sistem infotainmen turut dipertingkatkan di mana Android Auto kini didatangkan secara standard bagi membolehkan pemandu menggunakan aplikasi seperti Spotify, Whatsapp dan Google Maps pada paparan multimedia berukuran 10.3 inci.
Menurut Lexus, model 2021 lebih ringan sebanyak 10kg berbanding versi sedia ada. Ini dicapai menerusi penggunaan ‘lower arm’ aluminium dan bar penstabil baharu. Bukan itu sahaja, pegas gegelung kini diperbuat daripada bahan lebih kuat. Jentera ini juga mendapat rim 21 inci yang lebih ringan tetapi ia untuk bahagian belakang sahaja.
Selain suspensi baharu, LC turut ditawarkan dengan Active Cornering Assist yang berfungsi dengan mengenakan brek pada tayar berada bahagian dalam bagi memudahkan lagi pengendalian.
Turut dipertingkatkan adalah transmisi. Bagi varian LC 500, transmisi automatik 10 kelajuannya kini akan mengekalkan gear lebih lama sebelum ia dinaikkan. Lexus mendakwa ini dapat meningkatkan rasa pecutan terutamanya ketika berada dalam “zon aktif” di mana pendikit berada pada tahap 50-70%.
Bagi LC 500h pula, transmisi empat kelajuan yang terdapat pada varian itu kini ditala supaya turun ke gear dua (bukannya ketiga seperti sebelum ini) untuk membantu pecutan ketika pemandu keluar dari selekoh tajam.
Must-Watch Video