Antarabangsa
Nissan bawa 2 Skyline konsep ke TAS 2020
Nissan Skyline tidak lagi menggambarkan populariti seperti zaman generasi sebelum ini. Ini suatu fakta yang agak sukar untuk diakui namun inilah hakikatnya.
Model generasi baharu Skyline nampaknya lebih bersandarkan kepada Infiniti Q50 empat pintu berbanding jentera sport R32 dan R34.
Sungguhpun begitu, itu bukan alasan bagi Nissan untuk tidak memberi sentuhan magis pada varian Skyline. Terbaharu, Nissan menayangkan dua model Skyline untuk acara Tokyo Auto Salon (TAS) 2020. Model yang dimaksudkan ialah 400R Sprint Concept dan Deluxe Advanced Concept.
Skyline 400R Sprint Concept, seperti namanya, direka untuk pemanduan pecutan pada laluan lurus. Model ini berasal daripada 400R yang memiliki garisan badan yang lebih dramatik.
Disaluti skim warna hitam kusam, sentuhan warna hijau limau pada badan dengan angka 20 pada panel pintu membantu menonjolkan gaya agresif jentera ini.
Skyline ini memakai rim tempaan sebesar 20 inci, bampar hadapan dan belakang baharu, serta spoiler belakang besar yang sama seperti model GT-R Nismo.
Aspek mekanikal tidak menerima pembaharuan. 400R Sprint concept masih dijana dengan enjin turbo berkembar 3.0 liter V6 yang boleh menghasilkan 400hp serta 475Nm.
Bagi model Skyline Deluxe Advanced Concept pula, ia tertumpu kepada pembeli yang mah elemen kemewahan. Kereta ini dilengkapi suit keselamatan ProPilot 2.0 Nissan dan material kulit dua tona di dalam kabin. Bahagian luaran juga ada cat dua tona.
Tidak dapat dipastikan sama ada kereta konsep ini juga menggunakan enjin 400hp seperti 400R Sprint atau memilih opsyen rangkaian kuasa empat atau enam silinder. Nissan Skyline 400R Sprint dan Skyline Deluxe Advanced akan dipertontonkan di Tokyo Auto Salon 2020 bermula 10 Januari depan.
Selain itu, Nissan juga akan memperagakan beberapa model menarik termasuk GT-R dan Fairlady Z (370Z) edisi ulang tahun ke-50, van istimewa NV350 serta beberapa model Nismo lain.
Must-Watch Video