Sebahagian dari sejarah Transformers kini boleh anda miliki, ini kerana trak yang menjadi watak Optimus Prime dalam filem Bumblebee (2018) kini dijual buat mereka yang berminat.

Trak Freightliner model 1987 itu muncul dalam babak akhir filem berkenaan sebagai Optimus Prime. Bumblebee menjadi filem aksi francais Transformers yang dilancarkan pada 2007 di bawah Pengarah, Michael Bay.


Durasi yang panjang dan penuh aksi menjadikan filem berkenaan pecah panggung sehingga ke siri kelima, Transformers: The Last Knight.

Trak itu kini dijual menerusi platform Facebook Marketplace Truckers Buy Sell Trade or Advice. Menurut penjual ada beberapa kerosakan kosmetik yang perlu diperbaiki, tetapi trak terbabit berfungsi sepenuhnya sebagai semi trak.

Dijual pada harga $21,600 (RM88,000) mungkin angka terbabit cukup tinggi bagi bukan peminat filem aksi Transformer. Namun bagi mereka yang berminat angka itu boleh dipertimbangkan dan wajar.


Trak yang menggunakan enjin Cummins Big Cam 3 itu menghasilkan kuasa 350hp bersama transmisi 9-kelajuan dan menerima cat baharu disamping pemasangan visor RLK dan bampar American Eagle.

Jualan berkenaan menjelaskan tiada lagi kemunculan watak trak itu sebagai Optimus Prime dalam filem. Mungkin apabila munculnya filem baharu Optimus akan tampil dengan penampilan moden dan dinaik taraf.