,
Tempatan

Peugeot 308 SW, Khas Buat Peminat Wagon

Erywan
23/06/2021
03:29 MYT
Walaupun populariti SUV semakin lama semakin meningkat, model wagon atau estate masih belum dilupakan sepenuhnya. Satu daripada sebilangan kecil pengeluar yang masih menawarkan kenderaan jenis itu adalah Peugeot yang baru sahaja memperkenalkan 308 SW generasi baharu.
Penampilan model ini boleh dikatakan sama sahaja dengan 308 hatchback yang diperkenalkan pada Mac tahun ini. Namun, jika diperhatikan dengan teliti, rekaan lampu belakang 308 SW sedikit berbeza di mana ia tidak bersambung dengan panel berwarna hitam yang merentasi ‘tailgate’.
Walaupun dibina menggunakan platform yang sama iaitu EMP2, model wagon ini mempunyai ukuran badan dan tapak roda yang lebih panjang iaitu 4,636mm (+269mm) dan 2,732mm (+57mm). Bukan itu sahaja, ukuran ‘overhang’ belakangnya juga bertambah sebanyak 210mm, sekaligus menghasilkan ruang but yang lebih luas.
Boleh diakses menerusi ‘tailgate’ automatik, but berkenaan menawarkan ruang penyimpanan sebesar 608 liter. Jumlah ini boleh ditingkatkan sehingga 1,634 liter dengan melipat tempat duduk belakang sepenuhnya dalam konfigurasi 40:20:40.
Pada bahagian hadapan ruang kabin pula terdapat papan pemuka i-Cockpit yang merangkumi kluster instrumen digital dan skrin sentuh berdefinisi tinggi, masing-masing berukuran 10 inci. Turut disertakan adalah stereng kompak, barisan butang i-Toggle dan empat port pengecas USB-C.
Dari segi keselamatan, 308 SW didatangkan dengan pakej Drive Assist 2.0 yang menawarkan pemanduan separa autonomi dengan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control dengan Stop&Go, Lane Departure Warning, Semi-Auto Lane Change, Early Speed Recommendation dan Curve Speed Adaptation.
Barisan enjin yang ditawarkan juga tidak berubah, terdiri daripada pilihan enjin petrol, diesel dan hibrid plug-in. Versi petrol menggunakan enjin PureTech 1.2-liter turbo yang menawarkan 110PS atau 130PS, manakala versi diesel menggunakan enjin BlueHDi 1.5-liter dengan 130PS. Pilihan transmisi adalah manual enam kelajuan dan automatik lapan kelajuan.
Versi PHEV pula menawarkan dua tahap kuasa iaitu 180PS dan 225PS. Kedua-duanya menampilkan gabungan enjin PureTech 1.6-liter turbo, sebuah motor elektrik dan transmisi automatik lapan kelajuan. Dengan bateri berkapasiti 12.4kWj, ia boleh dipandu dalam mod elektrik sejauh sehingga 60km. Pengecasan mengambil masa kira-kira tujuh jam menggunakan soket standard.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Unitar