Sebelum terkenalnya skuter Suzuki V125 di Malaysia pada lewat tahun 1990-an, ada lagi model yang perlu anda ingat iaitu V10.

Sebenarnya, V100 kurang popular berbanding V125 yang terkenal dengan ubah suai dari segi penampilan menerusi cat semburan angin serta turut dilengkapi sistem audio.



Bagaimanapun, V125 ini sebenarnya ada kekurangnya kerana tidak sekuat V100 jika mahu dibandingkan dengan prestasinya.

Bagi jentera enjin dua lejang seperti V100, kerja ubah suai mungkin tidak sukar berbanding motosikal empat lejang. Seperti V100 dalam ruangan kali ini, ia sebenarnya memiliki ubah suai enjin dan luaran yang cukup menarik!

Dari segi enjinnya, boleh dikatakan lebih 60 peratus ia sudah diubah suai dengan menggunakan komponen lain. Pada bahagian blok, ia masih menggunakan yang asal, tetapi di ruang dalamnya dipadankan omboh Suzuki RGV120 dan dipegang rod Yamaha SS110.



Bagi menutup blok itu, head yang digunakan diambil daripada model Yamaha SS110 dan ia sudah dikustom bagi dimuatkan dengan sempurna. Transmisi automatiknya juga kini ditukar dengan komponen V125.

Bagi sistem klac, ia dinaik taraf dengan menggunakan komponen Malossi dan Suzuki V100 CE11 termasuk spring serta tempat memegang klac.

Barangan lain yang turut digunakan membabitkan gegelung magnet CE11 Advance serta gegelung palam pencucuh Kawasaki KR150.

Bagaimanapun, pemiliknya tidak mendedahkan berapa laju jentera ini boleh memecut di jalan raya, tetapi kami yakin ia cukup kuasa!



Sistem bahan apinya dipertingkatkan dengan penggunaan karburetor Keihin 34mm yang disambung menggunakan penyambung Taikom binaan khas.

Lubang ekzos pada blok disambung dengan chamber U-Turn jenama Chameleon yang kelihatan cukup mantap, selain penapis udara menggunakan dari model CE11.

Bahagian luarannya juga hebat apabila lebih separuh penampilannya dibaluti material gentian karbon.

Paling menarik adalah sistem suspensinya apabila pada bahagian hadapan menggunakan jenama Showa, manakala Ohlins untuk belakang. Ini bermakna, sistem suspensi itu lebih mahal daripada motosikal berkenaan.



Pengendaliannya juga lebih baik dengan padanan tayar Maxxis F1 yang menggunakan rim RPM. Tengok tayar sahaja, ia sememangnya yang terbaik daripada keluarga Maxxis dan harganya juga boleh tahan!

Bagi menyiapkan skuter kecil itu, masa yang diambil untuk membuatkan ia cantik dan menarik seperti dalam gambar ini adalah hampir dua bulan.

Kosnya pula, pemiliknya memilih untuk merahsiakannya dan kami tahu ia tidaklah murah dan mungkin melebihi RM5,000.