Porsche dan TAG Heuer berusaha untuk mengeratkan kerjasama mereka dengan menampilkan satu produk jam tangan baharu.

Jam ini adalah siri pertama dan dinamakan sebagai TAG Heuer Carrera Porsche Chronograph. Selepas ini, sudah pasti akan ada beberapa tambahan produk lain. Seperti yang kita tahu, ramai pelumba kereta khususnya zaman dahulu memakai jam tangan chronograph Heuer.


Kisah sebenar kerjasama ini bermula pada tahun 1960-an. Pemandu kereta lumba yang juga pengedar kereta Porsche, Jo Siffert dilihat sebagai pemula bersahabatan. Siffert berjaya mendapat satu kerjasama dengan Heuer untuk menampal lencana jenama itu pada kereta dan sut pasukan perlumbaan.

Sebagai bonus, Siffert dibenarkan beli tangan pada harga kos dan menjualnya kepada pasukan perlumbaan lain. Disebabkan populariti ini, Steve McQueen pernah membuat penggambaran filem Le Mans dengan memakai logo Heuer pada sut baju lumba dan memakai jam tangan Heuer Monaco.


TAG Heuer Carrera Porsche Chronograph menggunakan teknologi pergerakan Calbre Heuer 02 yang menawarkan simpanan kuasa selama 80 jam. Ini bermaksud, jam itu tidak mati walaupun pemiliknya tidak memakai untuk beberapa hari.

Ukuran jam ialah 44 millimeter lebar dan tekstur pada permukaan jam ini ada efek tar seakan jalan raya. Ada tiga butang dail untuk chronograph. Jam ini memaparkan kedudukan minit, saat dan pukul berapa secara berasingan. Di belakang, badannya jernih untuk anda melihat pergerakan mekanikal dan bahagian tengah pula ada bentuk stereng roda Porsche.


Jika membeli jam ini, anda ada dua pilihan tali jam. Versi jam dengan tali keluli tahan karat berharga AS$6,050 (RM24,460) manakala jam berserta tali kulit dijual pada harga AS$5,850 (RM23,650).