Tempahan Toyota Innova 2021 Kini Dibuka, Kemas Kini Pengayaan Dan Sistem Keselamatan
Selepas Fortuner, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) bakal melancarkan Toyota Innova 2021 dengan kemas kini terhadap penggayaan serta kelengkapan, membabitkan juga tambahan sistem keselamatan sebagai ciri standard.
Sistem infotainmen hadir dengan skrin sentuh bersaiz 9 inci serta turut memaparkan ciri Panoramic View Monitor (PVM) yang kini menjadi ciri standard bagi Innova 2.0X dan Innova 2.0G.
Paparan PVM ini juga ditukar daripada jenis 2D kepada 3D untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas kepada pemandu terhadap kenderaan dan persekitarannya, terutama ketika ingin melalui ruang sempit.
Sebagai tambahan, pelantar pengecas tanpa wayar turut ada di bahagian konsol tengah sebagai ciri tambahan yang boleh dipilih ketika membuat tempahan.
Dari segi ciri keselamatan pula, ciri Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang boleh membantu menghindari perlanggaran dengan kenderaan lain kini ditawarkan sebagai standard untuk Innova 2.0X dan 2.0G.
Sekiranya kenderaan dicuri, VTS Command Centre boleh mengesan lokasi kenderaan dan memaklumkan pihak berkuasa untuk mendapatkannya semula dalam masa yang singkat.
Semua varian Innova menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP dengan dilengkapi tujuh beg udara SRS dan semua penumpang di barisan ketiga mempunyai tali keledar 3 sudut dengan ciri auto retracting.
Terdapat enam warna pilihan membabitkan Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic (baru). Bagi Innova 2.0X, turut diberikan pilihan tambahan warna Crimson Spark Red Metallic.
Sama seperti kebanyakan model yang ditawarkan oleh UMWT, jaminan lima-tahun diberikan tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat seperti yang dinyatakan dalam buku panduan pemilik.
Perincian varian dan harga masing-masing adalah seperti berikut:
- Toyota Innova 2.0X – Dari RM129,677
- Toyota Innova 2.0G – Dari RM121,483
- Toyota Innova 2.0 E – Dari RM111,622