Didi Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi Vespa di negara ini melancarkan model baharu menerusi Vespa Primavera Sean Wotherspoon.


Model itu adalah hasil kerjasama antara Vespa dengan pereka Amerika Syarikat, Sean Wotherspoon yang terkenal dengan fesyen anak muda ketika ini. Namanya juga semakin menyerlah di Malaysia selepas melakukan kolaborasi dengan pengeluar kasut terkemuka sebelum ini.


Vespa Primavera Sean Wotherspoon adalah model istimewa dan edisi terhad yang menyerlahkan lagi kreativiti antara Sean dan Vespa. Ini juga adalah satu contoh untuk Vespa ke arah gaya baharu, berani dan menyeronokkan.


Pada badan Vespa Primavera itu, Sean mereka gaya baharu untuk golongan orang muda urban. Pada masa sama, ia menerapkan gaya kontemporari vintaj mengikut cara tanda dagangannya. Ia menggunakan pelbagai warna termasuklah kuning, merah, hijau tua dan biru muda pada badan Vespa Primavera itu.

Rim berwarna putih pula dilekat dengan logo Vespa, selain kemasan krom pada perumah lampu hadapan dan belakang, rak hadapan dan pemegang pembonceng, manakala cat hitam pada pelindung ekzos serta pemegang pendikit. Tempat letak kaki pula berwarna merah dengan padanan getah biru pada bahagian berkenaan.


Rangkaian kuasanya, ia masih menggunakan enjin 150cc yang menyalurkan output 12.7hp dengan tork setinggi 12.8 Nm. Skuter yang berwarna-warni ini akan berada di pasaran pada Oktober ini di semua pengedar Vespa seluruh negara.


Bagi mereka yang mahu melihat lebih dekat, ia juga dipamerkan di Crossover Sunway Pyramid, Selangor dan Southkey Mall, Johor. Harganya pula, ia dijual bermula RM24,960.