Volkswagen Commercial Vehicles menyiarkan imej ‘teaser’ serta beberapa butiran mengenai California 6.1, sebuah varian ‘camper van’ dalam barisan Transporter.

Model itu akan membuat penampilan sulungnya di acara Caravan-Salon di Dusseldorf, Jerman pada penghujung bulan Ogos ini.


Buat pertama kalinya, California boleh didapati dengan sama ada dengan panel instrumen analog atau digital (Digital Cockpit), manakala unit kawalan camper multifungsi yang terletak pada konsol bumbung kini didatangkan dengan panel digital.

Dari segi teknologi, ia mendapat sistem infotainmen dengan ciri eSIM terbina yang membolehkan pemandu menggunakan pelbagai servis dalam talian. Turut diberi peningkatan adalah sistem bantuan pemandu yang kini merangkumi ciri-ciri seperti Lane Assist, Side Protection dan Trailer Assist

California 6.1 menampilkan enjin turbodiesel 2.0 liter empat silinder, dengan beberapa pilihan tahap kuasa yang mencecah 199PS bagi varian tertinggi.


Sementara itu, sistem stereng elektromekanikal menggantikan sistem hidraulik yang digunakan pada model sebelum ini.

Menurut Volkswagen, lebih 18,000 unit California sudah terjual di seluruh dunia pada tahun lalu. Secara keseluruhannya, pengeluaran varian-varian Transporter mencecah kira-kira 12 juta unit sejak model itu diperkenalkan pada 1950.