Skip to main content

Dua Anggota Undur Diri, Kumpulan Nasyid Zayne Kembali Dengan Wajah Baharu! Lancar Single ‘Wanita Syurgawi’

Astro Gempak zayne

Sekilas

  • Kumpulan nasyid kontemporari Zayne melancarkan single terbaru berjudul "Wanita Syurgawi" yang diilhamkan daripada hadith Nabi Muhammad SAW mengenai Saidatina Khadijah R.A.
  • Formasi baru Zayne kini termasuk Yusuf Kassim, Johan Qari Negeri Johor 2025, yang membawa warna vokal lebih matang dan segar kepada kumpulan.
  • Single "Wanita Syurgawi" sudah boleh didengar di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Selepas sekian lama menantikan karya terbaharu, kumpulan nasyid kontemporari popular, Zayne, kini kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul "Wanita Syurgawi".

Naskhah ini bukan sekadar sebuah lagu, malah merupakan pengenalan rasmi kepada formasi baharu kumpulan tersebut.

Lagu Wanita Syurgawi merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer berkaliber, Frizdan Fizarahman. Karya ini sangat istimewa kerana liriknya diadaptasi daripada hadith Nabi Muhammad SAW yang menceritakan tentang keagungan dan keistimewaan Saiditina Khadijah R.A di sisi Rasulullah SAW.

Ketua kumpulan Zayne, Furqan Fawwaz, berkongsi keterujaan mereka saat pertama kali mendengar demo lagu ini.

"Kali pertama mendengar demo daripada Abang Frizdan, kami terus jatuh hati. Proses rakaman tidak mengambil masa yang lama, namun kami sangat menitikberatkan soal penghayatan kerana lagu ini membawa mesej perjalanan sirah yang sangat agung antara Rasulullah dan isteri tercinta," ujar Furqan.

Susulan pengunduran dua anggota terdahulu, Basit dan Naufal Azrin, Zayne kini tampil lebih ampuh dengan penyertaan anggota baharu, Yusuf Kassim. Beliau bukanlah nama asing dalam dunia tilawah al-Quran apabila memegang gelaran Johan Qari Negeri Johor bagi tahun 2025.

Kemasukan Yusuf dianggap memberikan "warna" baharu kepada identiti vokal Zayne. Menurut Mateen, Zayne kini muncul dengan imej yang lebih matang.

"Zayne kali ini tampil dengan vokal yang lebih matang. Kehadiran Yusuf Kassim membawa Zayne terus ke hadapan, dan kami yakin variasi vokal yang dibawakannya sangat menyerlah dalam lagu ini," kata Mateen.

Bagi Yusuf Kassim, beliau menyifatkan penyertaannya dalam Zayne sebagai satu rezeki yang indah. Sebelum ini, beliau sering dijemput bersama Zayne dalam pelbagai acara sehingga memupuk keserasian yang akrab antara mereka.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Furqan dan Mateen kerana menerima saya dengan tangan terbuka untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Zayne," jelas Yusuf.

Besar harapan Zayne agar kembalinya mereka ke persada seni dapat diterima baik oleh seluruh lapisan masyarakat. Mereka mensasarkan agar Wanita Syurgawi mampu menjadi naskhah "hit" menyamai kejayaan lagu-lagu bertemakan serikandi sebelum ini.

Single "Wanita Syurgawi" kini sudah boleh dinikmati dan didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan lain-lain.

Mengenai Zayne: Zayne merupakan kumpulan nasyid kontemporari yang memperjuangkan genre muzik yang segar dan relevan dengan generasi muda. Kini dianggotai oleh Furqan Fawwaz, Mateen, dan Yusuf Kassim, kumpulan ini terus komited dalam menyampaikan mesej dakwah menerusi karya seni yang berkualiti.

 

Anda mungkin berminat dengan

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

Must-Watch Video

Advertisement