Selepas Sepanyol muncul juara Piala Dunia FIFA 2026 dengan menewaskan Argentina pada aksi final semalam, nama pemain muda sensasi Lamine Yamal sekali lagi menjadi sebutan peminat bola sepak di seluruh dunia.
Media sosial turut dibanjiri perbincangan mengenai kejayaan La Roja, membuktikan betapa besarnya impak sukan bertaraf dunia kepada peminat.

Namun di sebalik keghairahan itu, timbul satu persoalan yang cukup menarik.
Kalau semua orang mengenali Lamine Yamal dan atlet- atlet beprestij Piala Dunia, berapa ramai pula rakyat Malaysia yang mengenali atlet negara sendiri yang pernah bergelar juara dunia?
Ramai mungkin tidak tahu Malaysia sebenarnya pernah melahirkan juara dunia dalam sukan permotoran menerusi legenda rali negara, Karamjit Singh.
Pada 2002, Karamjit mencipta sejarah apabila muncul juara FIA Production World Rally Championship (PWRC) sehingga menjadi rakyat Malaysia dan atlet Asia pertama memenangi gelaran dunia dalam kategori tersebut.

Kejayaan itu meletakkan Jalur Gemilang di pentas tertinggi sukan rali dunia.
Ironinya, pencapaian luar biasa itu tidak lagi menjadi sebutan generasi muda berbanding bintang sukan antarabangsa yang sentiasa menghiasi media sosial.
Sedangkan untuk bergelar juara dunia dalam rali, seseorang bukan sahaja perlu pantas di belakang stereng, malah memiliki ketahanan mental, keberanian serta keserasian luar biasa bersama jurunavigasi dalam menempuh laluan lasak sejauh ratusan kilometer.

Kisah kegemilangan Karamjit turut menjadi inspirasi kepada filem Terbang, yang membawa penonton menyelami dunia rali serta perjuangan seorang pelumba mengejar impian di pentas antarabangsa.
Mungkin selepas kita meraikan kejayaan juara dunia baharu seperti Sepanyol dan Lamine Yamal, sudah tiba masanya kita juga mengangkat serta menghargai wira negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.