Skip to main content

Gaya Hidup

ALAM Malaysia Cipta Sejarah, Menang Emas di Andong International Maskdance Festival 2025

ANTAVA

Pasukan ALAM Malaysia mencipta sejarah apabila meraih Gold Prize dalam Kategori Kumpulan di Andong International Maskdance Festival 2025 sekaligus menjadi kemenangan pertama Malaysia selepas lebih 13 kali penyertaan dalam festival seni bertaraf dunia itu.

Festival berprestij yang berlangsung di Andong, Korea Selatan dari 26 September hingga 5 Oktober 2025 itu menghimpunkan penyertaan lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, Turkiye dan Mesir. Ia dianjurkan oleh Korea Spiritual Culture Foundation dan diiktiraf sebagai antara festival seni bertopeng paling berpengaruh di dunia.

Advertisement

ALAM Malaysia diumumkan sebagai penerima Gold Prize bernilai ₩2,000,000 bagi kategori berkumpulan, manakala bagi kategori individu mereka turut membawa pulang Bronze Prize bernilai ₩300,000 menerusi persembahan bertajuk “Hanuman: Searching the Human Within.”

Karya utama mereka bertajuk “Ātma Mukhaḥ: The Dancing Mask Searching for Its Many Faces” menampilkan gabungan tarian, teater fizikal dan naratif falsafah yang mengangkat enam figura mitologi — Rama, Laksmana, Siti Dewi, Hanuman, Jentayu dan Rawana — sebagai simbol aspek-aspek kemanusiaan seperti kasih, kesetiaan dan pengorbanan.

Persembahan ini memukau juri antarabangsa dengan kekuatan emosi, simbolisme topeng serta gabungan seni tradisi dan kontemporari. Kostum diinspirasikan daripada mitologi Asia Tenggara, manakala muziknya menggabungkan elemen moden dan tradisional, menjadikan persembahan ini kaya dengan nilai visual dan spiritual.

Ketua pasukan dan koreografer, Amandus Paul Panan, melahirkan rasa syukur atas kemenangan bersejarah ini.

“Ini adalah kemenangan yang lahir daripada cinta terhadap seni dan budaya Malaysia. Kami datang bukan untuk menyaingi tetapi untuk berkongsi kisah tentang siapa kita melalui bahasa gerak.

Kemenangan ini kami dedikasikan kepada semua seniman Malaysia yang percaya bahawa warisan kita masih relevan dan dihargai dunia,” katanya.

Kejayaan ALAM Malaysia turut direalisasikan hasil kerjasama dengan beberapa jenama tempatan seperti Choctop, One Drop Perfumes dan Behati.

Untuk rekod, ALAM Malaysia merupakan gabungan tiga kumpulan seni Anak Seni, Legasi Terindah dan Seri Mandala (Antava Projects) yang bergabung membawa karya seni Malaysia ke peringkat global dengan visi memperkasa identiti budaya dan kemanusiaan.

Must-Watch Video

Advertisement