Sekilas
- Jenama fesyen tempatan BLVCLOUD fokus pada konsep minimalist streetwear dengan palet warna asas hitam, putih, dan kelabu untuk gaya yang timeless.
- BLVCLOUD bercita-cita untuk menempatkan nama Malaysia setanding dengan jenama fesyen antarabangsa melalui rekaan yang sofistikated dan kemas.
- Koleksi runway mereka lebih berani, manakala koleksi komersial menampilkan pakaian asas seperti hoodie dan crop top, dengan sokongan City Fashion School dalam usaha melahirkan bakat fesyen baru.
Jenama fesyen tempatan BLVCLOUD menyimpan impian besar untuk meletakkan nama Malaysia sebaris dengan jenama fesyen antarabangsa menerusi konsep minimalist streetwear.
Ketua Pegawai Eksekutif Odyssey Intelligence Group, Megat Farzurien Megat Jaafar berkata, penubuhan BLVCLOUD bukan sekadar memperkenalkan satu lagi jenama pakaian tempatan, sebaliknya mahu membina sebuah jenama Malaysia yang mampu menembusi pasaran global.
"Kami sebenarnya masih baharu. Mungkin belum ramai yang mengenali BLVCLOUD.
"Sebab itu kami wujudkan BLVCLOUD kerana kami mahu Malaysia mempunyai satu jenama streetwear yang mengetengahkan konsep minimalis, tetapi pada masa sama mampu dibawa ke peringkat antarabangsa," katanya kepada Gempak.

Menurut Megat Farzurien, dia percaya jenama tempatan mempunyai potensi untuk berdiri sama tinggi dengan nama-nama besar dalam industri fesyen dunia.
"Saya percaya jenama tempatan kita mampu berdiri setanding dengan jenama besar seperti Balenciaga.
"Kalau kita lihat sekarang pun, banyak jenama mewah dunia sudah bergerak ke arah konsep minimalis. Jadi kami juga mahu membawa identiti itu menerusi BLVCLOUD," katanya.

Mengulas mengenai identiti jenama tersebut, Megat Farzurien berkata BLVCLOUD memilih palet warna asas seperti hitam, putih dan kelabu sebagai DNA utama jenama.
"Kalau anda lihat konsep kami, semuanya berkisar kepada warna asas iaitu hitam, putih dan kelabu.
"Kami tidak bermain dengan warna-warna yang terlalu terang atau berani. BLVCLOUD lebih sesuai untuk mereka yang menggemari gaya minimalis dan rekaan yang timeless," katanya.

Bagaimanapun, koleksi yang dipersembahkan di pentas Kuala Lumpur Men's Fashion Week 2026 merupakan edisi khas untuk pertunjukan fesyen dan tampil dengan rekaan yang lebih berani berbanding koleksi komersial.
"Ini ialah koleksi runway, jadi ia memang lebih berani. Tetapi koleksi yang akan dijual kepada pelanggan lebih menampilkan rekaan timeless seperti hoodie, crop top dan pakaian asas yang boleh dipakai sepanjang tahun," katanya.

Dalam masa sama, Megat Farzurien turut mendedahkan pihaknya sebenarnya merancang membuat satu pengumuman istimewa pada penghujung pertunjukan fesyen tersebut.
Namun, ia terpaksa ditangguhkan susulan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
"Sepatutnya kami ada satu kejutan pada penghujung acara, tetapi disebabkan beberapa isu, kami tidak dapat membuat pengumuman itu," katanya.

Diasaskan oleh Farez Ridzwan, BLVCLOUD mempertaruhkan 10 rekaan yang menggabungkan elemen elevated streetwear bersama jahitan yang kemas dan sofistikated, sekali gus memberi nafas baharu kepada landskap fesyen lelaki tempatan.
Persembahan sulung BLVCLOUD turut mendapat sokongan City Fashion School, City University Malaysia sebagai usaha bersama melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam industri fesyen tempatan.
Kuala Lumpur Men's Fashion Week 2026 berlangsung di M Resort & Hotel Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu.
