Sekilas
- Pelakon Elisya Sandha kini fokus membuat persiapan untuk menyertai acara kecergasan Hyrox di Bangkok minggu hadapan.
- Elisya mengambil keputusan berehat seketika daripada dunia lakonan untuk memberi tumpuan kepada latihan bagi acara tersebut.
- Drama terbaharunya, Madu Atau Racun, akan mula bersiaran pada 14 Ogos di platform iQIYI dengan Elisya sebagai salah seorang pelakon utama.
Pelakon Elisya Sandha kini giat membuat persiapan sebelum menyertai acara kecergasan Hyrox di Bangkok, Thailand yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.
Menurut Elisya atau nama lengkapnya, Nur Elisya Sandha Hassan, 27, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi acara berkenaan.
“Untuk bulan ini saya akan berhenti seketika daripada berlakon sebab saya akan menyertai Hyrox di Bangkok pada minggu hadapan.
“Jadi saya terpaksa berhenti berlakon sekejap dan berlatih untuk Hyrox, supaya nanti tidaklah pengsan bila di sana.
“Tapi dalam masa yang sama saya ada dapat juga tawaran berlakon, insyaAllah bulan Oktober nanti saya akan masuk balik ke set penggambaran,” kongsinya.
Elisya berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama terbaharunya Madu atau Racun di A Quiet Place, Bukit Bintang, baru-baru ini.

Mengulas mengenai keputusannya menyertai Hyrox, Elisya menegaskan penyertaannya dalam acara berkenaan bukan disebabkan trend atau FOMO (fear of missing out), sebaliknya didorong minat mendalam terhadap aktiviti kecergasan selain mahu mencabar kemampuan diri.
“Sebab saya suka cabar diri. Saya tahu orang mesti cakap saya FOMO tapi sebenarnya tidak.
“Saya bukan FOMO, saya memang suka bersenam dan walaupun ada anak-anak, saya suka cabar diri saya sendiri untuk buat semua perkara yang saya mahukan.
“Ini adalah salah satu bucket list, yang saya memang nak buat,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Elisya bersama Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan barisan pelakon-pelakon lain meneraju drama terbaharu mereka iaitu Madu Atau Racun yang akan mula bersiaran 14 Ogos ini di platform iQIYI.