Skip to main content

Gaya Hidup

Disangka Sah Di Mata Manusia, Rupanya Perkahwinan Bermasalah Di Sisi Hukum

Kahwin

Topik nikah fasid mungkin jarang sekali dibincangkan dalam kalangan masyarakat kita. Malah, tidak kurang juga yang beranggapan isu ini hampir mustahil berlaku kerana setiap akad nikah yang dilafazkan disaksikan ramai dan kelihatan sah di mata manusia.

Namun hakikatnya, sesuatu pernikahan itu boleh dikategorikan sebagai nikah fasid sekiranya ia tidak memenuhi rukun atau syarat sah nikah sebagaimana yang ditetapkan dalam hukum syarak. Walaupun akad telah berlangsung, kecacatan dari sudut hukum boleh menyebabkan perkahwinan tersebut tidak sah.

Antara punca utama berlakunya nikah fasid ialah masalah wali, saksi yang tidak memenuhi syarat, penggunaan wali tidak sah atau pernikahan yang dijalankan tanpa kebenaran wali yang sebenar.

Berikut kami kongsikan beberapa kes dan laporan berita di Malaysia yang berkait rapat dengan isu nikah fasid


Berikut kami kongsikan beberapa berita yang berkait rapat dengan nikah fasid. 


1. Perkahwinan 29 tahun tidak sah 

Ikatan perkahwinan yang dibina selama 29 tahun disangka sempurna, rupa-rupanya tidak sah akibat terjebak sindiket nikah membabitkan wali hakim palsu.

Itulah nasib menimpa Latifah (bukan nama sebenar), 58, berasal dari ibu kota yang bernikah dengan suaminya pada 1996 di Perak sebagai isteri kedua, tanpa pengetahuan keluarga.

Dia yang pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh bagi mendapatkan pengesahan perkahwinan terkejut apabila hakim syarie mengesahkan perkahwinannya bersama arwah suami sebagai nikah fasid.

Ia berikutan ketika pernikahan itu, individu yang berperanan sebagai 'naib kadi' melantik dirinya sendiri sebagai 'wali hakim' secara salah tanpa melalui Mahkamah Syariah.

Sumber: Harian Metro


2. Selepas dua anak baru tahu ibu ayah tak pernah bernikah

Seorang wanita terkedu apabila mengetahui ibu dan bapanya tidak pernah bernikah secara sah dan memalsukan sijil pernikahan.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, kisah itu terjadi ke atas seorang wanita yang masih muda dan telah berkahwin serta dikurniakan dengan dua orang cahaya mata.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila ayahnya telah menjadi wali kepada perkahwinannya.

Menurut Fahmi, disebabkan perkahwinan ibu dan ayahnya yang dijalankan secara ‘Nikah Kampung’ tersebut tidak didaftarkan, wanita itu boleh dianggap sebagai anak tak sah taraf.

Katanya sepatutnya, si ayah atau ibunya perlu membuat pengesahan nikah di Mahkamah Syariah untuk menentukan sama ada perkahwinannya sah atau tidak mengikut hukum syarak.

Sumber: Kosmo 


3. Sindiket pernikahan palsu tumpas di Pulau Pinang, jurunikah, ejen dijatuhkan hukuman di mahkamah

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melumpuhkan kegiatan sindiket pernikahan kampung dan menahan dua lelaki yang sedang menjalankan majlis pernikahan tanpa kebenaran di sebuah rumah di Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Serbuan yang dilakukan pegawai penguat kuasa agama (PPA) pada 24 Julai tahun lalu itu adalah kejayaan pertama di Pulau Pinang membabitkan penahanan jurunikah dan orang tengah yang bertindak sebagai ejen bagi pernikahan palsu di negeri itu.

Sumber: Berita Harian

4. Ikatan Kahwin Didakwa Tidak Sah, Uqasha Terkilan Keluarga Dimanipulasi 

Pasangan selebriti, Uqasha Senrose dan Kamal Adli juga pernah menyorot perhatian netizen selepas Uqasha mendedahkan bahawa dia terkejut kerana tidak dimaklumkan mengenai tarikh dan masa sebenar perkahwinannya.

Pelakon yang terkenal menerusi Dendam Pontianak itu turut meluahkan rasa kecewanya kerana beranggapan Kamal dan keluarganya telah memanipulasi dia dan ayahnya.

Bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akhirnya tampil mengesahkan status pernikahan pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose, sah mengikut hukum syarak.

JAIP berkata berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, pasangan itu dinikahkan pada 4 November 2021 jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.

Kes-kes ini jelas menunjukkan bahawa nikah fasid bukan sekadar teori dalam kitab fiqh, sebaliknya isu yang benar-benar berlaku dalam masyarakat. 

Kurangnya ilmu, sikap ambil mudah dan kebergantungan kepada pihak tidak bertauliah boleh membawa kesan besar bukan sahaja kepada pasangan, malah kepada anak-anak dan waris.

Oleh itu, setiap pasangan yang ingin bernikah disarankan untuk memastikan semua rukun dan syarat dipenuhi serta mendapatkan pengesahan daripada pihak berautoriti bagi mengelakkan implikasi hukum di kemudian hari.

Foto: Ikhlas.com

Must-Watch Video

Advertisement