Sekilas
- Emas preloved semakin popular sebagai alternatif memiliki emas pada harga lebih berpatutan di kalangan masyarakat Malaysia.
- Jenama tempatan Sri Semantan membuka cawangan ke-17 di Kemaman, Terengganu, dengan sasaran 30 cawangan menjelang akhir tahun dan 222 cawangan dalam 10 tahun akan datang.
- Sri Semantan menekankan pentingnya pemahaman emas sebagai aset kewangan dan bukan sekadar barang kemas, sambil memberi pendedahan kepada masyarakat tentang manfaat memiliki emas.
Emas preloved dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila ramai pengguna kini memilihnya sebagai alternatif untuk memiliki emas pada harga yang lebih berpatutan.
Perkembangan itu turut mendorong jenama tempatan, Sri Semantan, memperluaskan rangkaian perniagaannya apabila merasmikan pembukaan cawangan ke-17 di Kemaman, Terengganu.
Menurut pengasasnya, pertumbuhan rangkaian syarikat bukan sekadar didorong oleh perancangan perniagaan, sebaliknya hasil permintaan pelanggan yang semakin meningkat di pelbagai lokasi.
"Kita membuka sesuatu lokasi berdasarkan permintaan. Bukan kerana kita suka sesuatu tempat itu, tetapi kerana kita melihat adanya permintaan yang tinggi.
"Di kawasan yang mempunyai permintaan kukuh, Insya-Allah kita akan membuka kiosk atau cawangan baharu," katanya.

Beliau berkata, syarikat menyasarkan pembukaan sehingga 30 cawangan menjelang penghujung tahun ini sebelum merancang memperkenalkan konsep kiosk di pusat beli-belah.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Sri Semantan turut meletakkan sasaran memiliki 222 cawangan termasuk kiosk di seluruh negara.
Menurut beliau, perubahan paling ketara hari ini ialah semakin ramai masyarakat mula memahami bahawa emas bukan sekadar barang kemas, sebaliknya aset yang boleh dimanfaatkan dalam perancangan kewangan.
"Kita bukan sekadar menjual emas.
"Kita juga mahu memberi pendedahan supaya masyarakat memahami bagaimana emas yang dimiliki boleh difungsikan sebagai aset yang memberi manfaat kepada kehidupan dan kewangan mereka," katanya.
Beliau berkata, antara kelebihan emas preloved ialah pengguna masih berpeluang memiliki emas tulen pada harga yang lebih kompetitif berbanding pembelian baharu, sekali gus menjadikannya pilihan ramai pembeli.
Dalam ucapan perasmian cawangan baharu itu, beliau turut mengakui perjalanan membangunkan jenama tersebut bukan sesuatu yang mudah.
"Matlamat kami bukan untuk berlumba atau menyaingi mana-mana pihak.
"Kami mahu memainkan peranan bersama-sama memajukan industri emas negara serta berkongsi ilmu dan pengalaman dengan masyarakat.
"Kami percaya apabila seseorang memiliki emas dengan ilmu dan kefahaman yang betul, dia bukan sekadar menyimpan nilai, tetapi sedang membina ketenangan, keyakinan dan masa depan yang lebih baik untuk keluarganya," katanya.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat membuat keputusan berdasarkan ilmu dan kefahaman yang betul mengenai pemilikan emas, selain tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai maklumat yang tidak sahih di media sosial.