Sekilas
- Festival Ayam Lejen III berlangsung pada 25-26 Julai di Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur, menampilkan lapan jenama ayam goreng popular di bawah satu bumbung.
- Pengunjung boleh mencuba pelbagai jenis ayam goreng termasuk Nashville Hot Chicken, ayam pressure fried, dan Ayam Golek melalui hidangan sampler pada harga berpatutan.
- Selain makanan, festival ini menawarkan aktiviti menarik seperti pertandingan makan, undian awam, debat ayam goreng, hiburan pentas, dan kemasukan adalah percuma.
Jika anda peminat ayam goreng, inilah masanya untuk menentukan sendiri jenama mana yang paling menepati cita rasa.
Festival makanan Ayam Lejen III kembali berlangsung pada 25 hingga 26 Julai di Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur dengan menghimpunkan lapan jenama ayam popular di bawah satu bumbung.
Menariknya, pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati pelbagai jenis hidangan ayam, malah boleh membuat perbandingan sendiri sebelum memilih juara pilihan masing-masing.
Antara jenama yang mengambil bahagian ialah Fowlboys Diner, Ayam Goreng Berhantu, Supernomms Fried Chicken, Ayam Masywi, Cowboys Barbecue & Grill, Muiz Hot Chicken, Hot Bird dan Hott Chickk.

Setiap vendor turut menyediakan hidangan sampler khas pada harga berpatutan bagi membolehkan pengunjung merasai pelbagai menu tanpa perlu mengunjungi setiap restoran secara berasingan. Selain itu, pelbagai promosi dan kombo eksklusif turut ditawarkan sepanjang festival.
Lebih menarik, setiap jenama tampil dengan identiti tersendiri. Ada yang mempertaruhkan Nashville Hot Chicken, ayam pressure fried, ayam goreng bersos ala Korea, kepak ayam barbeku hinggalah Ayam Golek yang dipanggang secara tradisional.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal, Ayam Lejen diwujudkan bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri kepelbagaian hidangan ayam yang ditawarkan oleh jenama tempatan.
"Ramai bertanya kepada kami, ayam goreng mana yang paling sedap? Jawapan kami sentiasa sama, datang dan tentukan sendiri. Di Ayam Lejen III, pengunjung boleh membandingkan Nashville Hot Chicken, ayam goreng tempatan, ayam pressure fried, ayam bersos, kepak ayam barbeku dan Ayam Golek dalam satu festival. Itulah yang menjadikan Ayam Lejen begitu istimewa," katanya.
Selain menikmati makanan, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan makan, undian awam, debat mengenai ayam goreng, hiburan pentas serta aktiviti mesra keluarga. Kemasukan ke festival ini adalah percuma.

Ayam Lejen III akan berlangsung pada 25 dan 26 Julai, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di Datum Jelatek Shopping Centre, yang mempunyai akses terus dari Stesen LRT Jelatek. Orang ramai disarankan hadir awal bagi menikmati hidangan sampler paling popular serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
