Sekilas
- Seorang wanita warga emas di Kuala Krau, Temerloh, Pahang menarik perhatian netizen dengan nama uniknya, Entah binti Ta’tahu.
- Nama tersebut dipamerkan melalui video TikTok oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, lengkap dengan MyKad wanita itu.
- Netizen turut berkongsi kisah nama unik datuk nenek mereka, menunjukkan fenomena nama pelik yang pernah wujud dalam masyarakat lama.
Seorang wanita warga emas memiliki nama unik iaitu Entah binti Ta’tahu sekali gus menarik perhatian pengguna media sosial.
Wanita tersebut yang tinggal di Kuala Krau, Temerloh, Pahang memberitahu namanya sewaktu berbual bersama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said.
Video tersebut dikongsikan Ismail pada akaun TikTok dan beliau turut menunjukkan MyKad wanita itu yang tertulis nama Entah binti Ta’tahu.
“Anak-anak Gen Z tak caya (percaya) bila koi kabo (saya bagitahu). Nah Mak Cik Entah bawa keluar IC (kad pengenalan). Nama unik ni satu je dalam Malaysia,” katanya.
Menerusi ruangan komen, pengguna media sosial turut berkongsi cerita berhubung datuk dan nenek mereka mempunyai nama unik.
“Nenek saya nama Sepak binti Tunggul,” komen pengguna TikTok Sahabatku Yang Empat.
“Nenek saya pula Sampah. Datuk saudara saya pula, Pungut. Aku tak tahu lah orang dulu bagi nama anak macam mana,” komen Zoolzul88.
“Arwah mak saya pernah cerita ada orang nama ‘Entah Tak Tahu’. Kejadian berlaku sebab jururawat tu tanya nama bayi baru lahir. Maknya jawab Entah Tak Tahu. Jadi misi tu tulis la nama Entah binti Tak Tahu. Cerita tu dengar waktu kecil, tapi baru sekarang jumpa orangnya. Allahuakbar,” kata K Fiys.
Sumber: Kosmo