Sekilas
- Amin Idris menegaskan tiada keperluan merakam gambar atau video semasa pengebumian tanpa kebenaran keluarga arwah.
- Fokus utama ketika pengebumian adalah mendoakan keampunan arwah dan mengambil pengajaran daripada kematian.
- Pengambilan gambar atau video dibenarkan jika melibatkan keluarga sendiri, tetapi tidak harus mengatasi tujuan utama pengebumian.
Pengacara dan pendakwah bebas, Amin Idris berkongsi pandangan mengenai tindakan merakam gambar atau video ketika proses pengebumian jenazah, khususnya apabila perkara itu dilakukan tanpa persetujuan keluarga arwah.
Amin berkata, tiada keperluan untuk seseorang merakam atau mengambil gambar ketika berada di tanah perkuburan sekiranya tujuan sekadar mahu memaklumkan keadaan kepada rakan-rakan.
“Pertama, tiada keperluan untuk rekod. Kalau nak beritahu rakan, cukup sekadar beritahu. Tiada gambar pun tak apa. Apatah lagi jika keluarga tak izinkan. Itu hak mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Amin turut menegaskan perkara yang lebih utama ketika menghadiri pengebumian adalah mendoakan keampunan buat arwah serta mengambil pengajaran daripada kematian.
Amin juga tidak menolak sekiranya seseorang mahu mengambil gambar atau video ketika pengebumian ahli keluarga sendiri, namun mengingatkan agar perkara tersebut tidak mengatasi tujuan utama menghadiri pengebumian.
“Kedua, tanggungjawab kita yang hadir ke pengkebumian adalah doakan pengampunan untuk si mati dan menginsafi one day kita juga akan mati. Bukan ambil video dan gambar.
“Ketiga, melainkan kalau keluarga kita sendiri meninggal, kita nak ambil gambar atau video, silakan. Tapi jangan sampai itu jadi agenda utama,” jelasnya.
Amin berkata demikian selepas seorang individu meminta pandangannya mengenai tindakan merakam proses pengebumian seorang rakan yang telah meninggal dunia untuk dikongsikan kepada rakan-rakan atau kumpulan sembang.
“Korangkan nak tanya. Kawan aku meninggal. Kemudian waktu kebumi tu aku record untuk update kepada kawan atau group. Tapi family arwah marah dan tegur aku.
“Salah ke kalau rakam jenazah tengah dikebumikan? Ada siapa-siapa tahu?” soal individu tersebut dengan nada ingin tahu.