Sekilas
- Chinatown 1974 di Petaling Street dibuka sebagai destinasi gaya hidup lapan tingkat yang menggabungkan elemen nostalgia 1970-an dengan konsep moden termasuk makanan, kesejahteraan, penginapan butik dan rooftop.
- Tiga tingkat pertama menampilkan pelbagai konsep makanan tradisional Malaysia dengan sentuhan kontemporari, manakala Durian Village menyediakan pengalaman khas untuk peminat durian.
- Selain makanan, pengunjung boleh menikmati spa di tingkat tiga, menginap di hotel butik 32 bilik, dan menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari rooftop Twilight Terrace.
Petaling Street sememangnya tidak pernah ketandusan lokasi menarik untuk diterokai, tetapi kini ada satu lagi destinasi baharu yang cuba menggabungkan nostalgia Kuala Lumpur dengan gaya hidup moden dalam satu bangunan.
Dibuka secara rasmi pada 5 September lalu, Chinatown 1974 hadir sebagai destinasi gaya hidup lapan tingkat yang menghimpunkan pengalaman makanan, kesejahteraan, penginapan butik dan ruang santai di atas bumbung.
Lebih menarik, keseluruhan konsepnya mengambil inspirasi daripada suasana Jalan Petaling sekitar era 1970-an dengan falsafah ‘Moving Through Time’.
Bukan mahu mencipta semula masa lalu secara literal, sebaliknya elemen nostalgia seperti kopitiam, budaya minum teh dan tradisi berkumpul sambil makan diberi sentuhan lebih kontemporari.

Kalau sedang mencari lokasi baharu untuk diterokai sekitar Kuala Lumpur, ini enam tarikan yang ada di Chinatown 1974.
1. ‘Throwback’ ke Petaling Street era 1970-an
Sesuai dengan namanya, antara perkara utama yang mahu diketengahkan Chinatown 1974 adalah nostalgia kehidupan di Jalan Petaling sekitar tahun 1970-an.
Daripada budaya kopitiam dan perniagaan keluarga sehingga kehidupan masyarakat berbilang kaum, elemen tersebut diterjemahkan menerusi reka bentuk, makanan dan pengalaman yang ditawarkan.
Malah, bangunan lama yang sebelum ini kosong itu diberikan nafas baharu menerusi proses pemulihan dengan keseluruhan projek merangkumi kawasan seluas lebih 44,000 kaki persegi.

2. Tiga tingkat pertama khas buat kaki makan
Kalau datang kerana makanan, tiga tingkat pertama menempatkan konsep F&B berbeza yang mengambil inspirasi daripada budaya makan masyarakat Malaysia.
Di tingkat bawah dan aras mezzanine terdapat konsep kopitiam Muhibbah Malaysia moden era 70-an yang membawa idea ‘Makan Seperti Penduduk Tempatan’.
Naik ke tingkat satu pula, pengunjung dibawa ke suasana rumah teh Nanyang dengan dim sum Kantonis yang diberikan sentuhan rasa Malaysia.
Di tingkat dua, konsepnya berubah kepada pengalaman berkumpul mengelilingi api menerusi gabungan arang, steamboat dan budaya berkongsi makanan.
Operasi F&B di sini juga sedang dalam usaha mendapatkan pensijilan Halal.

3. Peminat durian pun ada ‘port’ sendiri
Tidak lengkap bercakap tentang pengalaman makanan Malaysia tanpa Raja Buah.
Sebuah ruang khas dikenali sebagai Durian Village ditempatkan di pintu masuk dan tingkat bawah dengan mengetengahkan konsep daripada ladang ke pinggan.
Durian yang ditawarkan diperoleh menerusi sumber bekalan sendiri pengendali Chinatown 1974, sekali gus menjadikan buah itu sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang mahu diperkenalkan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.


4. Penat berjalan Petaling Street? Naik tingkat tiga untuk ‘healing’
Bukan semuanya tentang makan.
Tingkat tiga menempatkan Pavilion Kesejahteraan yang menawarkan kemudahan seperti urutan kaki dan spa.
Konsepnya diinspirasikan daripada era 1970-an tetapi diterjemahkan dalam bentuk lebih moden menerusi idea kesejahteraan, pemulihan dan ‘slow living’.
Jadi selepas seharian berjalan sekitar Petaling Street, bolehlah berhenti seketika untuk berehat sebelum meneruskan eksplorasi.

5. Ada hotel butik 32 bilik
Untuk yang mahu merasai sendiri pengalaman bermalam di tengah-tengah Petaling Street, tingkat lima hingga tujuh pula menempatkan sebuah hotel butik dengan hanya 32 bilik.
Konsep penginapannya menggabungkan pesona era 1970-an dengan kemudahan kontemporari serta mengambil inspirasi daripada romantisme perjalanan zaman dahulu dan nostalgia sinematik.
Lokasinya juga membolehkan tetamu berada dekat dengan pelbagai tarikan di sekitar kawasan warisan Kuala Lumpur.
6. Naik rooftop, boleh tengok ‘old KL’ bertemu ‘new KL’
Salah satu tarikan yang berpotensi menjadi spot kegemaran pengunjung tentunya Twilight Terrace di bahagian paling atas bangunan.
Ruang rooftop itu menawarkan teh, kopi dan kombucha dengan pilihan tempat duduk di dalam serta kawasan terbuka.
Apa yang membuatkan lokasinya menarik adalah pemandangan latar langit Kuala Lumpur termasuk Menara KL serta pemandangan dekat ke arah Menara Merdeka 118.
Pertembungan bangunan berinspirasikan warisan dengan pencakar langit moden di sekelilingnya secara tidak langsung menggambarkan identiti Kuala Lumpur hari ini, yang lama masih kekal sementara yang baharu terus berkembang.

Bangunan lama diberi kehidupan baharu
Menurut antara pengasas projek berkenaan, Datuk Seri Saiful Nizam Mohd Yusoff, idea asalnya tercetus daripada keinginan menghidupkan kembali sebuah bangunan lama yang sudah terbiar.
“Idea ini adalah untuk mengubah sebuah bangunan lama dan usang. Bangunan tersebut telah kosong dan kami sentiasa mahukan idea di mana kami menghidupkan semula sebuah bangunan.
“Daripada projek dan bangunan yang terbiar, bangunan itu telah hidup semula dalam bentuk Chinatown 1974 di tengah-tengah KL di Jalan Petaling,” katanya.
Isterinya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid pula berkata mereka turut melihat potensi pendekatan sama dilakukan terhadap bangunan lama lain di lokasi strategik termasuk di Pulau Pinang.
Chinatown 1974 dilancarkan oleh Pengerusinya, Datuk Brian Chow yang juga pengasas iME Entertainment Group Asia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turut hadir pada pelancaran menyifatkan projek berkenaan berpotensi memberi nilai tambah kepada imej negara dalam menarik pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia.