Rezeki tak salah alamat, itulah gambaran yang dapat diberikan kepada pelakon dan juga bekas anggota Running Man, Lee Kwang Soo.

Kwang Soo terpilih untuk berlakon sebagai watak utama dalam drama terbitan tvN berjudul Murderer’s Shopping List.

Selain Kwang Soo, produser drama tersebut juga mengumumkan dua lagi pelakon utama adalah Kim Seolhyun dan Jin Hee Kyung.

Kwang Soo akan membawakan watak sebagai Ahn Dae Sung iaitu anak kepada pemilik pasar raya Jung Myung Sook (Jin Hee Kyung).

Walaupun dia seorang yang genius dengan memiliki kemahiran menghafal yang mengagumkan namun kehidupannya berubah menjadi buruk akibat insiden yang berlaku di pasar ibunya ketika dia berumur 10 tahun.

Walaupun mempunyai kebolehan luar biasa, Ahn Dae Sung kemudiannya melalui masa sukar selepas gagal dalam peperiksaan untuk menjadi pegawai perkhidmatan awam selama tiga tahun berturut-turut.

Malah, ingatannya yang luar biasa itu juga seolah-olah menjadi penghalang dalam hidupnya dengan mengingati banyak maklumat tidak berguna.

Untuk pengetahuan, drama ini juga merupakan adaptasi novel dengan judul yang sama oleh Kang Ji Young, Murderer's Shopping List.

Drama ini dijadualkan siarannya pada tahun 2022.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU

Sumber: Soompi

Kredit foto: Google