Pelakon dan bekas anggota Running Man, Lee Kwang Soo masih tidak dapat melupakan tabiatnya dalam program popular itu.

Walaupun sudah tidak bersama Running Man, namun sikap dan tabiatnya yang sudah 11 tahun bersama mereka masih lagi ada pada dirinya.

Kelakuan Kwang Soo itu dipaparkan dalam episod pertama spin off program House on Wheels berjudul Lending You My House On Wheels yang mula bersiaran pada Isnin.

Episod itu merakamkan Kwang Soo bersama dua lagi pelakon, Kang Ha Neul dan Han Hyo Joo sedang meninjau keadaan rumah untuk program itu.

Bagaimanapun perhatian beralih pada Kwang Soo kerana dia kelihatan tidak senang duduk dan mengutarakan beberapa soalan lazim tanpa sedar seolah-olah berada dalam Running Man, antaranya:

“Patutkah kita keluar dan melihat keadaan sekeliling?”, “Tak, tak ini adalah perkara yang kamu harus lakukan. Ini adalah masa yang sesuai untuk keluar melihat,” dan juga “Kamu ingin tunggu di sini selama lima minit sebelum beredar? Adakah kamu sedang berehat sekarang?” soalannya itu mengundang tawa rakan-rakannya.

Tidak cukup dengan itu, lain pula jadinya apabila mereka bertiga tiba di pusat membeli-belah untuk membeli barangan dapur.

Kwang Soo kemudiannya terus mencari barangan yang diperlukan dalam keadaan tergesa-gesa.

Perkara itu menarik perhatian Hyo Joo dan menegur Kwang Soo supaya bertenang.

“Tak ada misi yang harus dilakukan pun di sini. Awak tak perlu mencari barang sepantas mungkin.

“Nampaknya awak memang dah terbiasa melakukan perkara ini dalam rancangan variati,” katanya ketawa.

Kwang Soo membalas dan mengakui masih tidak dapat melupakan tabiatnya.

“Awak benar, tetapi saya rasa seolah-olah ada satu penyakit dekat saya. Rasa macam sekiranya saya dapat mencari sebuku roti dengan pantas, saya rasa seperti saya akan menang dan mendapat tempat pertama,” ujarnya.

Selain Kwang Soo, Hyo Joo dan Ha Neul, rancangan ini juga turut dimeriahkan oleh Kim Sung Oh serta Park Ji Hwan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU