Pelakon terkenal Korea, Park Seo Joon dilaporkan bakal membintangi filem adiwira berjudul The Marvels.

Difahamkan Seo Joon akan bergandingan bersama pelakon yang membawakan watak Captain Marvel iaitu Brie Larson.

Menurut laporan Star News, Seo Joon baharu selesai menjalani penilaian dalaman serta perbincangan selepas mendapat tawaran menyertai The Marvels.

Bagaimanapun, agensi pengurusannya Awesome ENT enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

“No comment,” ujar wakilnya ringkas.

Seo Joon dijangka berangkat ke Amerika Syarikat (AS) sekitar Julai depan untuk memulakan penggambaran filem berkenaan.

Aktor yang semakin dikenali selepas membintangi drama Itaewon Class ini kini sebuk menghabiskan penggambaran untuk filem berjudul Concrete Utopia.

Selain Seo Joon, pelakon Korea Selatan lain yang akan terlibat dalam filem berkenaan adalah Ma Dong Seok yang sebelum ini membintangi filem Train To Busan dan juga Eternals.

The Marvels arahan Nia DaCosta itu dijadualkan tayangannya pada 11 November tahun depan.