Artis Korea
“Usia Saya Dah Masuk 30 Lebih, Rasa Imej Berbeza” - Lee Min Ho
Pelakon terkenal Korea, Lee Min Ho akui merasai perbezaan diri apabila usianya menjangkau 32 tahun.
Menurut Min Ho dia merasakan dirinya kini lebih matang sebagai seorang pelakon.
“Saya berehat kira-kira tiga tahun dan inilah masanya untuk kembali melihat diri saya.
“Saya telah sampai ke satu titik di mana saya perlu memberikan gambaran diri saya sebagai seorang pelakon berusia 30-an, imej yang berbeza dari saya sewaktu berusia 20-an.
“Saya juga berpendapat inilah masanya untuk saya menunjukkan sisi saya yang lebih matang,” ujarnya.
Tambah Min Ho lagi, dia juga kembali merujuk lakonannya yang terdahulu selain memikirkan tentang kerjayanya.
“Saya menghabiskan banyak masa memantau lakonan saya yang terdahulu. Selain itu saya juga sedang meneliti produksi yang bagus dan juga hala tuju masa depan saya.
“Apabila saya melangkah ke set penggambaran, segala kerisauan hilang dan merasakan ini bukanlah tempat yang janggal. Ini lah di mana ‘saya dilahirkan,” jelasnya.
Terdahulu, selepas tiga tahun akhirnya Min Ho kembali dengan drama terbaharu berjudul The King: Eternal Monarch.
Drama fantasi romantik The King: Eternal Monarch telah pun bersiaran pada 17 April lalu di saluran berbayar, Netflix.
Sebelum ini, Min Ho telah menjalani latihan khidmat ketenteraannya sejak 12 Mei 2017 di Suseo Social Welfare Center bertempat di Daerah Gangnam sebagai Pegawai Khidmat Masyarakat.
Min Ho kemudiannya menjalani latihan di Pusat Latihan Tentera Korea yang terletak di Selatan Nonsan, Wilayah Chungcheong pada 15 Mac 2018.
Pelakon kacak ini kemudiannya telah menamatkan latihan khidmat ketenteraannya pada 25 April 2019.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K-Drama dan dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU
Buat pembaca Gempak, apa-apa pun pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Sumber: Allkpop
Must-Watch Video